Brunei, AS tingkat kerjasama pendidikan

Brunei, AS tingkat kerjasama pendidikan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat (AS) terus berusaha untuk meningkatkan kerjasama dan hubungan dalam bidang pendidikan dengan beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai pelajar dari negara ini memilih untuk mengikuti pengajian di universiti dan institusi pengajian tinggi di AS.

Di samping itu, pelajar dari AS juga menunjukkan minat untuk melanjutkan pengajian mereka di Brunei terutama dalam bidang-bidang penyelidikan termasuk pengajian flora dan fauna unik Negara Brunei Darussalam.

Bagi para pelajar dari Brunei yang bakal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di AS, mereka bakal memulakan satu perjalanan yang sungguh bermakna bersama ratusan ribu pelajar dari seluruh dunia yang turut belajar di sana.

Perkara itu dikongsi oleh Pegawai Perhubungan Awam Kedutaan AS di Negara Brunei Darussalam, Dr. Edward Findlay semasa Orientasi Pra-Belayar Education USA di Gadong, baru-baru ini.

Menurut beliau lagi, pengalaman belajar di luar negara boleh membantu para pelajar memperoleh pelbagai pengalaman dan kemahiran serta mengenali budaya yang berbeza daripada pelajar-pelajar seluruh dunia.

Dr. Edward Findlay semasa menyampaikan kata alu-aluannya.
Dr. Edward Findlay semasa menyampaikan kata alu-aluannya.

Dengan pengalaman dan pendedahan itu, para pelajar Brunei, jelas Dr. Findlay lagi, mampu menjadi seorang warga global iaitu seorang yang lebih sedar, berpendidikan dan lebih berilmu pengetahuan untuk mengemudi kehidupan di abad ke-21.

“Brunei semakin terbuka kepada dunia dan bersedia untuk menghadapi masa depan di mana salah satu kunci utama adalah pendidikan global,” kata Dr. Findlay lagi.

“Walaupun dari segi jumlah pelajar dari Brunei ke AS masih kecil namun ia tidak kurang penting dalam mengeratkan lagi hubungan persahabatan dan pertukaran budaya di antara kedua-dua negara berkenaan.”

Pada majlis orientasi itu, para ibu bapa dan pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke AS diberikan penerangan dan persiapan untuk belajar di sana.

Mereka diberikan penerangan mengenai dengan peraturan visa pelajar dan tip-tip berguna apabila mereka tiba di AS nanti.

Pada majlis itu juga, para ibu bapa dan pelajar mendengar sesi perbincangan bersama para pelajar yang baru menamatkan pengajian mereka di AS termasuk pelajar-pelajar dari James Madison University dan juga Penolong Pensyarah, Dr David S McLeod dari Jabatan Biologi, James Madison University.

Pada masa yang sama, sebilangan besar pelajar dari Brunei memilih untuk mengikuti pe-ngajian dalam bidang kejuruteraan dan teknikal namun begitu universiti dan institusi pengajian tinggi di AS menawarkan pelbagai kursus dalam pelbagai bidang yang boleh diikuti oleh pelajar-pelajar Brunei.

Pelajar-pelajar dari negara ini yang bakal melanjutkan pelajar an mereka di AS akan menuntut di beberapa buah institusi pengajian tinggi yang berprestij termasuk Cornell University, The University of Rochester, New York University, Pepperdine University, Purdue University, The Culinary Institute of America dan Berklee College of Music.

ARTIKEL YANG SAMA