Brunei bakal hos projek FEALAC pertama

Brunei bakal hos projek FEALAC pertama

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah bagi projek pertama negara ini dalam pendidikan dan projek mobiliti penuntut yang akan bermula pada bulan Januari tahun depan.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan bersabda demikian semasa Sesi Pertama Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Kerjasama Asia Timur-Amerika Latin (FEALAC) ke-7 di Real Intercontinental Hotel San Jose, Costa Rica, Jumaat lalu.

Dalam sabdanya, Duli Yang Teramat Mulia menekankan kemajuan FEALAC selaku sebuah fora yang berdaya saing dan memberikan keutamaan dalam bidang pendidikan, kebudayaan dan kehidupan seharian.

Terdahulu dalam sesi retreat, Duli Yang Teramat Mulia turut menyampaikan sabda yang menekankan pentingnya FEALAC dalam memberikan hala tuju kerjasama dua hala dan pelbagai hala di seluruh dunia.

Duli Yang Teramat Mulia bersabda, perhimpunan itu bukan sahaja untuk mengukuhkan dan menggabungkan apa yang sudah dicapai, tetapi untuk melihat ke hadapan dan menyediakan jalan bagi hampir tiga bilion orang berkongsi setiap manfaat yang dunia moden mampu tawarkan kepada mereka.

DYTM DPPW berkenan mengurniakan sabda

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Perdana Wazir bergambar ramai bersama menteri-menteri negara lain semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Kerjasama Asia Timur-Amerika Latin (FEALAC) ke-7 di San Jose, Costa Rica. – Gambar-gambar oleh Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Perdana Wazir bergambar ramai bersama menteri-menteri negara lain semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Kerjasama Asia Timur-Amerika Latin (FEALAC) ke-7 di San Jose, Costa Rica. – Gambar-gambar oleh Infofoto

“Sama seperti abad ke-20 menyaksikan kolonialisme dalam semua bentuk digantikan dengan persatuan-persatuan serantau, 50 tahun seterusnya dalam abad baru mungkin akan menyaksikan benua-benua dan hemisfera bersatu dengan tujuan yang sama.

“Kita telah membangunkan struktur mesyuarat-mesyuarat yang membawa kepada program-program dan projek serta pengisytiharan hasrat secara meluas. Kita juga memiliki sekretariat baru bagi memastikan memori institusi yang merupakan teras kepada kejayaan institusi.”

Duli Yang Teramat Mulia bersabda, “Trend baru mungkin muncul, ia mungkin meluas dan memberi inspirasi, ia setentunya mengiktiraf kita berbeza dari segi sejarah, geografi, budaya dan fahaman tetapi ia tidak melihatnya sebagai satu masalah.

“Sebaliknya, ini adalah aset unik kita. Kita berkongsi sumber-sumber yang penting bagi kemajuan dalam abad ke-21 dan kita mewakili kemahiran dan bakat-bakat 40 peratus daripada penduduk dunia. Itulah sebabnya ia memberi inspirasi,” sabda Duli Yang Teramat Mulia lagi.

Mesyuarat berkenaan telah dirasmikan oleh Presiden Costa Rica, Tuan Yang Terutama Luis Guillermo Solis Rivera.

Sesi pertama telah dipengerusikan oleh Minister of Foreign Affairs and Worship, Tuan Yang Terutama Manuel A. Gonzalez Sanz, yang juga selaku penyelaras serantau bagi Amerika Latin. Sesi pertama diakhiri dengan santap tengah hari dan sesi kedua bermula pada sebelah petang.

Duli Yang Teramat Mulia ketika berangkat mengadakan perjumpaan dua hala dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Colombia.
Duli Yang Teramat Mulia ketika berangkat mengadakan perjumpaan dua hala dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Colombia.

Di samping mesyuarat berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia juga mengadakan perjumpaan dua hala dengan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri Colombia, Puan Yang Terutama Maria Angela Hoguin Cuellar.

Dalam perjumpaan itu, kedua-dua menteri telah membincangkan perkara-perkara dua hala dan cara-cara mempertingkatkan hubungan dua hala tersebut.

DYTM DPPW berkenan bergambar bersama Menteri Luar Costa Rica

pg08_150824_d

Duli Yang Teramat Mulia ketika berangkat balik selepas menghadiri mesyuarat FEALAC di Costa Rica.
Duli Yang Teramat Mulia ketika berangkat balik selepas menghadiri mesyuarat FEALAC di Costa Rica.

Turut mengiringi Duli Yang Teramat Mulia ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Mansurah Izzul Bolkiah.

Setelah menghadiri mesyuarat berkenaan, Duli Yang Teramat Mulia berangkat meninggalkan San Jose, petang kelmarin.

Berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Juan Santamaria untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Duli Yang Teramat Mulia ialah Tuan Yang Terutama Manuel A. Gonzalez Sanz.

ARTIKEL YANG SAMA