Brunei bakal tubuhkan bursa saham

Brunei bakal tubuhkan bursa saham

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Ekonomi Negara Brunei Darussalam menurun sebanyak 2.3 peratus pada 2014 disebabkan penurunan pada sektor minyak dan gas.

Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) berkata, kadar inflasi setakat ini kekal rendah. Dolar Brunei, selaras dengan Dolar Singapura, dijangka akan terus bertambah nilai berbanding dengan nilai mata wang rakan perdagangannya yang lain.

“Ini akan dapat membantu mengawal tekanan inflasi dari luar negara bagi bulan-bulan seterusnya,” kata AMBD dalam Kenyataan Dasar bagi separuh pertama 2015 yang dikeluarkan di sini hari ini.

Menurut AMBD, pertumbuhan ekonomi global kekal sederhana dan tidak seimbang pada separuh pertama 2015.

Dalam kenyataannya itu, AMBD juga mengulas mengenai beberapa perkembangan kewangan di negara ini termasuk pengeluaran Notis Peraturan yang telah mula berkuatkuasa pada 8 Jun 2015 bagi mengawal hutang isi rumah.

Ia berkata, pada 2014, jumlah aset dan deposit dalam sistem perbankan, masing-masing menurun sebanyak 3.7 peratus dan 4.3 peratus berbanding dengan 2013. Walau bagaimanapun, sektor perbankan
di negara ini terus menunjukkan ketahanan dengan Regulatory Capital Adequacy Ratio yang tinggi dan penurunan pada nisbah pembiayaan yang tidak berbayar.

AMBD seterusnya memaklumkan bahawa AMBD dengan kerjasama Kementerian Kewangan, sedang melaksanakan projek penubuhan bursa saham tempatan.

Perkembangan ini dijangka akan menyumbang kepada peningkatan aktiviti industri kewangan dan meningkatkan sumbangan perkhidmatan kewangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepertimana yang dihasratkan di dalam Wawasan 2035.

Untuk maklumat lanjut mengenai Kenyataan Dasar AMBD 1/2015, sila layari laman sesawang http://www.ambd.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA