Brunei bebas Zika

Brunei bebas Zika

Oleh Siti Hajar

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Jan – Dengan pihak berkuasa kesihatan di seluruh dunia meningkatkan kewaspadaan terhadap jangkitan virus pembawa maut, Zika yang merebak dengan pantas di Amerika Latin dan Caribbean, Kementerian Kesihatan Brunei hari ini menggesa orang ramai untuk mengambil langkah-langkah berwaspada terhadap jangkitan penyakit itu di negara ini.

Brunei juga berisiko menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes yang merupakan pembawa utama jangkitan itu dalam 20 negara setakat ini, menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Pengiran Dr Haji Mohd Khalifah bin Pengiran Haji Ismail dan Ketua Bahagian Kawalan Penyakit, Dr. Justin Wong pada sidang media di Bilik Mesyuarat Tingkat 2, Kementerian Kesihatan hari ini.

Walau bagaimanapun, Brunei belum lagi melaporkan sebarang jangkitan virus Zika, tambah mereka.

Bagaimanapun risiko adalah tinggi kerana Brunei dan keadaan alam sekitar rantau ini terutamanya cuaca tropikanya dianggap sebagai kawasan sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes apa tah lagi negara kini berdepan fenomena El-Nino yang meningkatkan lagi risikonya. Kawasan bandar lebih terdedah berbanding kawasan pedalaman berdasarkan saiz populasi dan beberapa faktor lain seperti sanitasi.

Di sebalik kebimbangan ini, mereka memberi jaminan, bahawa Kementerian Kesihatan sudah bersiap sedia berhadapan sebarang jangkitan virus Zika memandangkan mereka sudah berpengalaman menangani penyakit bawaan vektor lain seperti denggi dan malaria.   Tiada larangan atau pengharaman perjalanan dikenakan ke atas negara-negara ini namun bakal pengunjung ke kawasan terjejas dinasihatkan untuk mengambil langkah-langkah berjaga, khususnya ibu yang hamil, menurut kedua-duanya.

Di pintu-pintu masuk ke dalam negara termasuk darat, udara dan air, pihak berkuasa sudah memperkenalkan langkah-langkah berjaga khususnya di lapangan terbang di mana pesawat ditugaskan untuk mengingatkan penumpang tentang virus dan simptom-simptom berkaitan, sementara amalan lain semasa jangkitan MERS dan Ebola juga dilaksanakan.

Dengan vaksin bagi virus itu masih lagi dalam kajian, pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk mengambil langkah berhati-hati terhadap jangkitan terutamanya dalam kalangan wanita mengandung yang dinasihatkan mengambil langkah khusus melindungi diri mereka daripada dijangkiti virus itu.

Di Brazil, masyarakat tempatan menyaksikan peningkatan dalam kelahiran anak damit dengan gangguan kongenital dikenali sebagai mikrosefali (microcephaly) yang berkemungkinan berkaitan dengan virus itu, terutamanya jika ibu mempunyai sejarah virus Zika, namun keputusan mengenai kaitan itu belum lagi disahkan.

Kementerian Kesihatan menyeru semua pihak termasuk orang ramai untuk bersama-sama bertanggungjawab dalam mengambil tindakan-tindakan pencegahan pembiakan nyamuk seperti berikut:

Memusnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk dan meluangkan masa selama 10-30 minit sekerap yang boleh, sekurang-kurangnya seminggu sekali, untuk memeriksa kawasan kediaman atau bangunan masing-masing bagi memastikan kawasan persekitaran bebas daripada pembiakan nyamuk. Memastikan semua longkang dan aliran air dalam keadaan bersih, berfungsi dengan baik dan tidak tersumbat.

Memastikan sampah sarap dibuang dengan teratur dan tidak ada bekas-bekas yang terbiar yang boleh menakung air. Memakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang dan mengelakkan daripada memakai pakaian berwarna gelap kerana warna gelap akan menarik perhatian nyamuk.

Menggunakan semburan racun serangga, lingkaran ubat nyamuk atau kepingan penghalau nyamuk. Menggunakan penghalang serangga (insect repellant) terutama bagi aktiviti luar, jika perlu.

Menurut kajian perubatan, kebanyakan kes jangkitan virus Zika tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda atau simptom. Walau bagaimanapun, sebahagian kecil pesakit boleh mengalami tanda-tanda seperti demam, sakit otot, sakit sendi, sakit kepala dan konjunktivitis serta ruam.

Kementerian Kesihatan akan terus memantau kejadian jangkitan virus Zika dengan kerjasama pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dari semasa ke semasa dan melaksanakan apa jua tindakan yang diperlukan termasuk memaklumkan sebarang perkembangan mengenainya kepada orang ramai. Bagi sebarang pertanyaan tentang jangkitan virus Zika ataupun penyakit bawaan nyamuk, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn ataupun menghubungi Healthline Kementerian Kesihatan di talian 145 atau e-mel kepada env.health@moh.gov.bn

ARTIKEL YANG SAMA