Brunei belum bersedia hos Sukan SEA

Brunei belum bersedia hos Sukan SEA

SINGAPURA, 4 Jun – Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC) hari ini berkenan berangkat menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Persekutuan Sukan Asia Tenggara (SEAGF) yang berlangsung di Dewan Collyer, Hotel Swissotel, Singapura.

Mesyuarat dipengerusikan oleh Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura yang juga Presiden SEAGF Tan Chuan-jin.

Sebelum mesyuarat bermula Duli Yang Teramat Mulia berkenan bergambar ramai bersama para presiden dan timbalan presiden bagi setiap negara Asia Tenggara dan juga negara jemputan, Timor Leste. Temasya Sukan SEA kali ini sangat istimewa bagi negara tuan rumah kerana ia bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-50 tahun Republik Singapura.

Sementara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, Kementerian Kebudayaan Belia, dan Sukan memaklumkan kepada Mesyuarat Majlis SEAGF yang telah berlangsung di Singapura hari ini bahawa Negara Brunei Darussalam belum lagi bersedia untuk menjadi tuan rumah kepada Sukan SEA yang ke-30 pada tahun 2019.

Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara sewaktu menghadiri mesyuarat itu. – Gambar Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara sewaktu menghadiri mesyuarat itu. – Gambar Infofoto

Keputusan ini dibuat memandangkan Negara Brunei Darussalam belum lagi bersedia daripada segi aspek logistik seperti tempat kemudahan sukan, penginapan dan persediaan atlet.

Keputusan Negara Brunei Darussalam telah disampaikan melalui Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNOC), kepada mesyuarat berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA