Brunei benam Jepun

Brunei benam Jepun

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Pasukan bola jaring Brunei Darussalam memulakan kejohanan Bola Jaring Asia 2016 di Bangkok, Thailand dengan kemenangan bergaya apabila menumpaskan pasukan Jepun dengan mata  20 – 51 sebelum menentang pasukan Malaysia hari ini.

Skuad kebangsaan sukan bola jaring negara di kejohanan itu dibarisi oleh Siti Marhayati binti Ahmad, Siti Nurul Nazihah binti Haji Hassan, Siti Nursyuhaaidah binti Rashid, Nur Syuhaaidah Fahriyana binti Haji Sukri, Syafiq Niqmatullah binti Amran, Nur Aqmal binti Abdul Jamal, Eileen Koh Hin Tian, Nur Ain binti Abdul hamid, Siti Norsaihah binti Mohammad Adi Najmi, Nura Fiqah @ Fatin Najlaa binti Samat dan Noor Zinatul Azimah binti Haji Brahim.

Ketika dihubungi mengenai dengan perlawanan itu, Ketua Jurulatih Bola Jaring Kebangsaan, Thilaka Jundasa menegaskan bahawa beliau berbesar hati dengan persembahan pemain-pemain negara yang menurutnya masih mempunyai ruang untuk mencapai keputusan yang lebih baik.

“Para pemain menunjukkan persembahan yang berkeyakinan dan boleh membuat kejutan lebih besar jika mereka memberikan tumpuan yang optimum pada perlawanan seterusnya meskipun cabaran banyak diberikan kepada penjaring kita di dalam perlawanan menentang Jepun itu” katanya.

Menurutnya lagi pemain pertahanan Jepun sangat rapi daripada membenarkan pemain kita untuk menembusi mereka namun para pemain bertindak pantas dan proaktif dalam mencari ruang dan peluang untuk memecahkan kebuntuan dalam perlawanan yang agak mencabar itu.

“Saya sangat suka melihat pertahanan pemain kita dan kesemua mereka memainkan peranan masing-masing dalam mempertahankan kubu negara dalam perlawanan semalam dan ia merupakan kenapa kita mampu menang menentang pasukan Jepun semalam” ujarnya lagi.

Beliau menambah bahawa kemenangan ini akan menjadi motivasi dan suntikan semangat kepada para pemain untuk meneruskan kejohanan pada kali ini bagi memastikan kemaraan pasukan negara untuk ke peringkat seterusnya.

Mengulas mengenai perlawanan menentang Malaysia hari ini katanya objektif utama adalah untuk meminimumkan purata bolos dan menambah sebanyak mungkin jaringan meskipun padanya saingan seterusnya adalah pasukan yang cukup digeruni di rantau ini.

“Malaysia adalah pasukan yang berpengalaman dan sememangnya diketahui oleh pemain bola jaring rantau ini akan kehebatan dan kepantasan selain cukup berpengalaman, Malaysia adalah sebuah pasukan yang keras serta cekap dalam permainan psikologi dan saya berharap para pemain kita akan terus fokus dengan objektif perlawanan iaitu kemenangan” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa para pemain perlu ingat terhadap sasaran iaitu untuk mara ke peringkat seterusnya dan perlawnaan malam ini akan menjadi tanda aras untuk kita bagi melihat corak dan strategi di dalam cabaran seterusnya dalam Kumpulan B pada tahun ini sebelum menentang pasukan Sri Lanka beberapa hari lagi.

ARTIKEL YANG SAMA