Brunei Bermula Cemerlang

Brunei Bermula Cemerlang

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Kejohanan Boling Padang Asia ke-11 dan Kejohanan Boling Padang Bawah 25 tahun ke-9 membuka tirainya hari ini menampilkan beberapa penyertaan antarabangsa termasuk China, Hong Kong, India, Jepun, Macau, Malaysia, Pakistan, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Thailand dan Brunei Darussalam di Kompleks Boling Padang, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

Hadir merasmikan kejohanan tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof sejurus selepas ucapan alu-aluan disampaikan oleh Timbalan Presiden Persekutuan Boling Padang Asia merangkap Presiden Persatuan Boling Padang Kebangsaan Brunei Darussalam, Dato Paduka Malai Haji Ali bin Malai Haji Othman.

Sebanyak 44 perlawanan dijadualkan pada hari pertama ini menampilkan 13 perlawanan yang melibatkan pemain kebangsaan dalam beberapa disiplin termasuk Singles (lelaki dan perempuan), Pairs (lelaki), Triples (Lelaki) dan Fours (perempuan) serta kejohanan remaja lelaki dan perempuan bagi Kategori Remaja Di Bawah Umur 25 Tahun.

Pasangan Awang Mohd Israt Amiruddin bin Haji Abdul Ghani dan Haji Naim Brahim membuka tirai perlawanan dengan dua kemenangan dalam bahagian Pairs apabila berjaya menewaskan pasangan dari Malaysia dengan mata 15-12 dan pasangan dari China dengan mata 29-3.

Pasukan Brunei Darussalam bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis. – Gambar oleh Khairil Hassan
Pasukan Brunei Darussalam bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis. – Gambar oleh Khairil Hassan
Salah seorang pemain negara ketika beraksi pada kejohanan tersebut.
Salah seorang pemain negara ketika beraksi pada kejohanan tersebut.

Triples lelaki negara yang disertai Awang Abdul Rahman bin Haji Omar, Pengiran Haji Tengah bin Pengiran Haji Tajuddin dan Ampuan Ahad bin Ampuan Haji Kassim pula menebus kekalahan pertama di tangan Triples lelaki Malaysia dengan kemenangan ke atas Triples Hong Kong dengan kutipan mata 24-7.

Pemain perseorangan wanita negara, Dayangku Nurul Nabilah PHMSC pula mencatatkan kemenangan ke atas pemain Hong Kong dengan mata 21-6 namun terpaksa akur dengan kekalahan tipis di tangan pemain Jepun pada perlawanan kedua apabila ketinggalan satu mata, 17-18.

Kumpulan Fours negara yang diwakili Dayang Esmawandy Ibrahim, Hajah Amalia binti Haji Metali, Dayang Suhana binti Haji Daud dan Hajah Ajijah Muntol masih mempunyai peluang untuk melangkah ke peringkat seterusnya apabila terpaksa menerima kekalahan di tangan India pada sebelah tengah hari dengan kutipan mata 8-10.

Selain daripada itu dalam Kejohanan Boling Padang Bawah 25 tahun kali ke-9 pula, pemain Brunei Satu lelaki tewas dua perlawanan dan Brunei Dua pula mencatatkan satu kemenangan dan satu kekalahan dan nasib yang serupa turut dialami bahagian wanita apabila Brunei Satu tewas dua perlawanan dan Brunei Dua menang sekali dan tewas sekali.

ARTIKEL YANG SAMA