Brunei berpotensi tarik pelabur asing

Brunei berpotensi tarik pelabur asing

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Negara Brunei Darussalam mempunyai pelbagai potensi untuk mengembangkan dan mempelbagaikan ekonominya dalam beberapa sektor yang dipercayai mampu untuk menarik minat pelabur-pelabur luar negara termasuk pelabur-pelabur Perancis.

Antara sektor yang berpotensi tinggi untuk dimajukan dan mampu menarik minat pelabur daripada kalangan syarikat Perancis dan juga penduduk Perancis adalah sektor produk halal dan juga sektor ekopelancongan.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengarah Besar Prestige Communication, Laurent Taieb (gambar) dalam temu bual bersama Media Permata mengenai dengan keluaran khas majalah L’Essentiel yang mengetengahkan Negara Brunei Darussalam yang diadakan di Kediaman Rasmi Duta Perancis ke Negara Brunei Darussalam, Kota Batu, kelmarin.

Taieb berkata bahawa walaupun terdapat banyak syarikat Perancis yang mempunyai operasi di negara-negara ASEAN yang lain seperti Singapura tetapi kedudukan Brunei yang berada di tengah atau sebagai pusat di rantau ASEAN adalah amat menarik bagi pelabur dan syarikat untuk melabur di Brunei dan kemudian mengedarkan atau memasarkan produk-produk mereka ke pasaran serantau dan antarabangsa.

pg10_160714_d

Beliau menjelaskan bahawa Brunei mempunyai sektor industri halal yang amat menarik untuk diterokai oleh pelabur Perancis di mana dengan jumlah penduduk Islam Perancis dan juga Eropah yang ramai, produk-produk halal yang dihasilkan oleh syarikat Brunei mampu diterima oleh masyarakat Islam di Perancis.

Beliau percaya terdapat syarikat Perancis yang berminat untuk menubuhkan kerjasama atau syarikat usaha sama dengan Brunei di mana mereka boleh menghasilkan produk-produk halal di Brunei dan produk berkenaan bukan sahaja dipasarkan di pasaran tempatan malahan di Perancis dan Eropah serta juga pasaran halal global.

Menyentuh mengenai sektor ekopelancongan, Taieb berkata bahawa lawatannya beberapa kali ke Brunei bagi menghasilkan keluaran khas majalah itu, mendapati bahawa Brunei mempunyai potensi yang besar dalam sektor pelancongan terutama dari segi ekopelancongan dan pelancongan khazanah budaya unik negara.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat kumpulan penduduk Perancis dan Eropah yang kini gemar untuk melancong ke tempat-tempat menarik yang kaya dengan keindahan alam semula jadi dan tidak lagi tertumpu pada pengalaman menetap di hotel mewah dan membeli-belah di pusat-pusat membeli-belah besar sahaja.

ARTIKEL YANG SAMA