Brunei catat imbangan perdagangan $195.9 juta

Brunei catat imbangan perdagangan $195.9 juta

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Negara Brunei Darussalam mencatatkan imbangan perdagangan sebanyak $195.9 juta pada bulan April yang mana jumlah eksport bernilai $512.3 juta manakala import bernilai $316.4 juta.

Sementara nilai eksport bagi bahan api galian mencatatkan sumbangan tertinggi iaitu $455.3 juta dari jumlah eksport dan ini diikuti oleh jentera dan kelengkapan pengangkutan sebanyak $21.1 juta dan bahan-bahan kimia iaitu sebanyak $17.3 juta.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) Jabatan Perdana Menteri dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, menjelaskan eksport utama negara mencatat $455.3 juta yang terdiri daripada minyak mentah berjumlah $185.9 juta dan gas cecair asli (LNG),$269.4 juta yang mana pasaran eksport terbesar adalah negara Jepun iaitu sebanyak 24.2 peratus daripada jumlah eksport.

Ini diikuti dengan Republik Korea iaitu sebanyak 18.1 peratus, India sebanyak 13.6 peratus dan Thailand pula 10.8 peratus.

Manakala import barangan menurun sebanyak 10.7 peratus daripada $354.3 juta pada bulan Mac 2016 kepada $316.4 juta pada bulan April 2016.

Jentera dan kelengkapan pengangkutan mencatatkan sumbangan tertinggi bernilai $92.1 juta daripada jumlah import, diikuti oleh barang-barang keluaran kilang sebanyak $71.9 juta dan makanan $49.5 juta.

ARTIKEL YANG SAMA