Brunei Classi...

Brunei Classic Meriah

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jan – Pelumba dari Filipina, George Luis Oconer tampil juara perlumbaan Kategori Elit Brunei Classic 2017 mewakili Pasukan ‘Go For Gold’ dengan catatan masa 4 jam, 2 minit dan 52 saat untuk melengkapkan kayuhan sejauh 161 kilometer dari Kuala Belait ke ibu negara.

George Luis Oconer yang hanya berada satu saat di hadapan pencabar terdekatnya dari Malaysia daripada Pasukan G530 Racing Team iaitu Nik Azwan Zulkiflee yang terpaksa akur di tempat kedua sementara seorang lagi pelumba dari Malaysia, Razif Salleh daripada Pasukan Team Endurace tampil di tempat ketiga.

Sementara itu, Kategori Novis pula menyaksikan penguasaan pelumba Brunei Darussalam daripada Pasukan Bro’s Cycling Project iaitu Awang Ahmad Jawaahir Haji Johor di tempat pertama diikuti oleh Awang Muhammad I’Maadi Abdul Aziz di tempat kedua dan Awang Ahmad Rifa’ie Haji Johor di tempat ketiga.

Pelumba persendirian dari Indonesia, Zulkifli pula tampil menjuarai Kategori Master apabila berada beberapa saat di hadapan pencabar terdekatnya daripada Pasukan G530 Racing Team dari Malaysia iaitu Norhasmat Abdul Aziz yang berada di tempat kedua diikuti oleh seorang lagi pelumba persendirian dari Malaysia, Muhammad Hafiz Wong Abdullah yang menyandang tempat ketiga.

Sementara itu dalam Kategori Terbuka Wanita pula, para pelumba perlu berkayuh sejauh 107 kilometer melalui laluan yang sama dikuasai sembilan pelumba dari Malaysia yang diterajui oleh Nurul Alissa Mohamad Azman yang berada di tempat pertama.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa (dua kiri) bergambar bersama para pemenang Kategori Novis Brunei Classic 2017.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa (dua kiri) bergambar bersama para pemenang Kategori Novis Brunei Classic 2017.

Tampil di tempat kedua Kategori Terbuka Wanita adalah Nur Aisyah Mohamad Zubir sementara tampil di tempat ketiga adalah Nurul Suhada Zainal yang dicabar rapat rakan senegaranya Noorazian Alias yang akhirnya akur tewas di tangan Nurul Suhada.

Nor Effandy Rosli dari Malaysia pula menunjukkan kebolehannya apabila beliau berjaya menumpaskan dua rakan senegaranya iaitu Muhammad Rafi Raviandran dan Tsen Yu Sang yang hanya mampu menduduki tempat kedua dan ketiga Kategori Veteran di dalam kejohanan itu kali ini. Dalam Kategori Berpasukan pula, Pasukan Go For Gold tampil juara apabila empat pelumbanya iaitu George Luis Oconer, Ronnel R.Hualda, Hardy Morshidi dan John Renee berjaya mengumpulkan masa keseluruhan 16 jam, 23 minit dan 27 saat.

Berada di tempat kedua Kategori Berkumpulan adalah Pasukan G530 Racing Team yang disertai Nik Azwan Zulkifle, Norhasmat Abdul Aziz, Fauzan Ahmad Lutfi dan Fito Bakdo dengan catatan masa terkumpul 16 jam, 27 minit dan 10 saat. Tampil di tempat ketiga adalah Pasukan Bro’s Cycling Project dengan catatan masa 17 jam, 13 minit dan 32 saat dan pasukan itu disertai Awang Amiruddin bin Haji Md Amir, Awang Ahmad Jawaahir Haji Johor, Awang Muhammad I’Maadi Abdul Azizi dan Awang Ahmad Rifa’ie Haji Johor.

Ketika dihubungi, Awang Ahmad Jawaahir, pelumba muda yang berusia 20 tahun dari Kampung Sinaut menegaskan beliau sudah berehat selama tiga tahun dan hanya memulakan latihan bagi kejohanan ini pada bulan lalu.

Para pemenang Kategori Novis.
Para pemenang Kategori Novis.

“Pada saya, dorongan dan sokongan keluarga serta pasukan sangat memberikan impak positif untuk terus mengayuh sehingga berjaya dalam perlumbaan yang mendapat sambutan baik hari ini,” ujarnya. Beliau tidak menyangka untuk menang dalam penyertaan kali ini, malah baginya beliau pada mulanya menjadikan perlumbaan ini sebagai permulaan kepada hobi yang telah ditinggalkan sejak beberapa tahun lalu.

“Kami sebagai kumpulan akan terus menyertai mana-mana kejohanan yang mampu kami sertai dan kami ingin mengambil peluang mengucapkan penghargaan kepada Pasukan Bro’s Cycling Project selaku penaja kami,”

Sementara itu ketika ditemui perwakilan Tum2Cycles, mengucapkan syabas dan tahniah kepada penaja dan penyokong utama seperti Tum Tum Cycles, penaja platinum VitaliV Health and Wellness Clinic, Garmin Brunei, Bobby Electrical Company, Rasa Ceria Cafe, De Royalle Cafe, Hankook Brunei, The Food Brigade dan Endurace.

“Tidak ketinggalan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persekutuan Berbasikal Brunei Darussalam serta sokongan padu Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Jabatan Belia dan Sukan serta Endurace, Hotel Parkview atas usaha menjayakan kejohanan yang gilang-gemilang ini,” ujar wakil pengurusan acara itu di sidang media.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah ialah Menteri Perhubungan selaku Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Mustappa bin Haji Sirat.

ARTIKEL YANG SAMA