Brunei, Costa Rica meterai perjanjian dua hala

Brunei, Costa Rica meterai perjanjian dua hala

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mac – Bagi mengeratkan lagi hubungan dua hala dan merintis jalan ke arah kerjasama yang lebih erat pada masa hadapan, Negara Brunei Darussalam dan Costa Rica telah menandatangani perjanjian dua hala di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

Hadir bagi mewakili kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng dan kerajaan Costa Rica pula diwakili oleh Menteri Luar, Tuan Yang Terutama Manuel A. Gonzalez Sanz.

Dua perjanjian yang dimeterai tersebut ialah Perjanjian Kerjasama Rangka Kerja bagi menggalakkan kerjasama teknikal, ekonomi, sains dan budaya antara kedua-dua buah negara dan Susunan Konsultasi Berkala Peringkat Tinggi peringkat kementerian setiap dua tahun.

Bercakap kepada media selepas majlis itu, TYT Manuel A. Gonzalez Sanz menekankan hubungan kedua-dua negara telah banyak diperkukuhkan terutamanya dalam tempoh enam bulan lepas atau lebih.

“Sebagai contoh, pemimpin kedua-dua negara ini dapat bertemu dalam konteks Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York, dan saya di sini, hari ini merupakan satu penghormatan untuk melawat negara yang indah ini,” katanya.

Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng dan TYT Manuel A. Gonzalez Sanz ketika menandatangani perjanjian dua hala Negara Brunei Darussalam dan Costa Rica.
Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng dan TYT Manuel A. Gonzalez Sanz ketika menandatangani perjanjian dua hala Negara Brunei Darussalam dan Costa Rica.
Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng dan TYT Manuel A. Gonzalez Sanz ketika bertukar-tukar dokumen dan memorandum perjanjian.
Yang Berhormat Pehin Lim Jock Seng dan TYT Manuel A. Gonzalez Sanz ketika bertukar-tukar dokumen dan memorandum perjanjian.

“Walaupun Costa Rica tidak mempunyai minyak dan gas, kepelbagaian ekonominya sangat baik. Tiga puluh tahun yang lalu kami hanya mengeksport empat komoditi, dan kami dilanda krisis yang mendesak negara untuk mempelbagaikan ekonomi kami. Sekarang kami mempunyai kira-kira 4,000 produk yang dieksport ke 136 buah negara di seluruh dunia.

“Saya difahamkan Brunei juga mencari usaha untuk mempelbagaikan ekonominya. Saya fikir usaha ini memberikan kami peluang untuk bekerjasama dan berkongsi pengalaman. Malangnya dalam kes ini, kami telah belajar dengan cara yang sukar. Oleh itu, kami lebih bersedia untuk belajar daripada satu sama lain,” kata TYT Manuel.

TYT Manuel juga memuji dasar Brunei dalam menarik pelaburan langsung asing dan beliau berkata inilah suatu lapangan di mana Costa Rica agak berjaya.

Menurut beliau lagi, Costa Rica mempunyai agensi untuk menggalakkan pelabur seperti Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei dan beliau berharap kedua-dua agensi tersebut boleh berhubung.

“Jadi usaha ini adalah mengenai belajar daripada satu sama lain dan kerjasama dari segi bekerja bersama-sama. Itulah erti kerjasama pada masa kini.

“Costa Rica dan Brunei adalah dua negara kecil dengan jumlah penduduk yang kecil juga. Jadi apa yang dapat kita tawarkan kepada dunia dan pelabur berpotensi adalah bakat manusia.

“Itulah sebabnya peruntukan amat penting. Saya telah melawat universiti di Brunei baru-baru ini dan melihat dengan mata saya sendiri bagaimana strategi pendidikan negara ini.

“Sentiasa ada kesalinghubungan antara politik, sosial dan ekonomi kedua-dua negara di mana kami boleh bekerjasama,” tambah beliau.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan untuk menubuhkan kedutaan tetap Costa Rica di Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama menyatakan beliau berasa gembira untuk berbuat demikian namun keputusan bukan terletak ditangannya.

“Saya perlu berunding dengan menteri kewangan kami kerana kami mengalami defisit fiskal yang amat tinggi. Jadi Menteri Kewangan amat ketat dalam perbelanjaan,” jelas beliau.

“Tetapi diharapkan kehendak kedua-dua negara ini semakin berkembang dengan Costa RIca akan mempunyai kedutaannya di sini pada suatu ketika nanti.

“Saya tidak boleh mengatakan bila tetapi ia akan menjadi satu penghormatan untuk mempunyai kedutaan Brunei di Costa Rica kerana ia pasti membantu untuk membuat tindakan susulan seperti mesyuarat hari ini dan topik-topik yang telah kita persetujui.”

ARTIKEL YANG SAMA