Brunei dapat penghargaan Presiden AFC

Brunei dapat penghargaan Presiden AFC

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Kejayaan Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah kepada Festival Bola Sepak Serantau Bawah 14 Tahun (B14) AFC 2015 pada 10-23 Ogos lalu mendapat pujian dan penghargaan daripada Presiden Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shaikh Salman bin Ebrahim Al-Khalifa dan Pemangku Setiausaha Agung AFC, Dato’ Windsor John.

Ucapan penghargaan daripada AFC berkenaan telah disampaikan oleh Timbalan Presiden NFABD, Yang Dimuliakan Pehin Datu Inderasugara Brigadier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mohammad Yusof bin Abu Bakar dalam ucapannya di Majlis Penghargaan Festival Bola Sepak Serantau B14 AFC 2015 di NFABD House petang ini.

Dalam ucapannya itu, beliau telah turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan ucapan penghargaan dan terima kasih NFABD kepada semua yang terlibat dalam menjayakan festival yang julung-julung kalinya diadakan di Brunei Darussalam itu termasuk kepada para penaja, ahli jawatankuasa festival dan sukarelawan.

Timbalan Presiden NFABD (tiga dari kanan) ketika menyampaikan cenderahati penghargaan kepada wakil daripada Brunei Press Sdn Bhd.
Timbalan Presiden NFABD (tiga dari kanan) ketika menyampaikan cenderahati penghargaan kepada wakil daripada Brunei Press Sdn Bhd.
Para sukarelawan yang terlibat dalam Festival Bola Sepak Serantau B14 AFC 2015 bergambar ramai bersama sijil masing-masing.
Para sukarelawan yang terlibat dalam Festival Bola Sepak Serantau B14 AFC 2015 bergambar ramai bersama sijil masing-masing.

Pada majlis penghargaan berkenaan, Yang Dimuliakan Pehin telah berkesudian untuk menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Kementerian Pendidikan, Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan para penaja yang terdiri daripada syarikat-syarikat tempatan dan kemudiannya sijil penghargaan kepada para ahli jawatankuasa festival.

Para penaja itu terdiri daripada KWAD Sdn Bhd, Ideal Group Holdings Sdn Bhd, NBT (B) Sdn Bhd, Hotel Orchid Garden, Superwater Marketing Sdn Bhd, Aewon Brunei, Brunei Press Sdn Bhd, Brunei Times Sdn Bhd, Magic Media Sdn Bhd, Kingston Beverage & Creamery Sdn Bhd dan Ranoadidas.com.

Majlis kemudiannya disusuli dengan penyampaian sijil penghargaan kepada para sukarelawan yang majoritinya terdiri daripada kalangan pelajar Politeknik Brunei yang disempurnakan oleh Setiausaha Agung NFABD, Haji Mohd Zamri bin Dato Paduka Haji Hamdani.

ARTIKEL YANG SAMA