Brunei Darussalam menjuarai pertandingan bermukun di Miri

Brunei Darussalam menjuarai pertandingan bermukun di Miri

Oleh Faridah Haji Ibrahim

 

KUMPULAN Mukun Selindang Sutera Brunei Darussalam telah menjuarai Pertandingan Bermukun sempena ‘Kempen Tak Nak Sirip Ikan Yu’ anjuran Lembaga Perikanan, Jabatan Perikanan, Miri, Sarawak, baru-baru ini. Pertandingan itu telah diadakan di Bangunan Permaisuri Imperial Miri.

Sebanyak 10 buah kumpulan turut bertanding di gelanggang Mukun bagi memberigakan Kempen ‘Tak Nak Makan  Sirip Ikan Yu’  itu. Pertandingan itu adalah salah satu usaha Jabatan Perikanan Miri untuk memberikan kesedaran kepada para nelayan dan orang ramai tentang bahaya kepupusan ikan yu yang mana kebanyakan nelayan hanya mengambil sirip ikan tersebut.

Peserta pemukun dari Brunei diwakili oleh Awang Irwan Rino bin Nordin bergandingan dengan Awang Wan Zuraimi bin Julaihi. Peserta tempatan ini sudah tidak asing lagi dalam bidang hiburan ini. Dalam pertandingan itu, tempat ketiga, dimenangi oleh Kumpulan AWAS dari Daerah Limbang manakala naib juara pula dimenangi oleh peserta dari Daerah Bintulu.

Kumpulan Mukun Selindang Sutera Brunei Darussalam menjadi Juara dalam Pertandingan Bermukun di Miri, Sarawak, Sempena Kempen ‘Tak Nak Sirip Ikan Yu’.
Kumpulan Mukun Selindang Sutera Brunei Darussalam menjadi Juara dalam Pertandingan Bermukun di Miri, Sarawak, Sempena Kempen ‘Tak Nak Sirip Ikan Yu’.

pgm6_160817_b

Bertepatan dengan tema

Dalam pertandingan tersebut, pemukun negara juga turut diisytiharkan sebagai pemenang Anugerah Pemantun terbaik. Menurut Awang Irwan, mereka telah menerima undangan pertandingan itu dari Jabatan Perikanan Miri sendiri dan mereka telah membuat satu persembahan yang terbaik malah pertandingan kali ini sangat mencabar kerana pihak penganjur telah mengenakan tema yang tertentu iaitu tentang kempen ‘Tak Nak Makan Sirip Ikan Yu’.

“Kami telah berusaha untuk membuat satu persembahan yang terbaik dan di atas semangat serta ilham yang telah diberikan untuk meneruskan cabaran kempen tersebut, kami telah mengutamakan tema pertandingan itu yang mana kebanyakannya mengandungi empat kerat pantun dan apa yang menarik, ada sesetengah pemukun hampir tidak dapat menjawab pantun yang kami tujukan,” tambah Awang Irwan.

Untuk perkembangan seterusnya, kumpulan tempatan akan meneruskan pertandingan bermukun mereka di Wilayah Persekutuan Labuan pada bulan September nanti sempena Art Festival Borneo 2016.

Mengetuai rombongan pemukun Brunei Darussalam ke Pertandingan Bermukun itu ialah Awang Shamsudin bin Awang Jeberi dan beberapa orang teknikal Mukun Selindang Sutera. Pertandingan turut diserikan dengan persembahan gabungan daripada pemukun cilik Brunei dan pemukun cilik dari Miri.