Brunei demam Liga Juara-Juara

Brunei demam Liga Juara-Juara

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Liga Juara-Juara UEFA merupakan salah satu daripada kejohanan bola sepak tahunan berprestij mempertemukan kelab-kelab terhebat di Eropah yang sentiasa menarik perhatian para peminat di seluruh dunia dan tidak ketinggalan juga di Negara Brunei Darussalam.

Dengan final tahun ini menyaksikan pertembungan antara juara Seria A Itali, Juventus dan juara La Liga Sepanyol, Barcelona, maka para peminat dan penyokong kedua-dua pasukan gergasi itu di negara ini turut tidak melepaskan peluang untuk menonton siaran langsung perlawanan buku bertemu ruas pagi tadi.

Dengan barisan pemain handalan dan terhebat dunia, tidak hairanlah kedua-dua pasukan memiliki ramai peminat di negara ini sehinggakan jualan jersi kedua-dua pasukan itu begitu laris menjelang final sehinggakan banyak kedai kehabisan stok terutama sekali jersi Juventus.

Pelbagai aktiviti telah diadakan oleh kumpulan peminat dan penyokong kedua-dua pasukan malam tadi sambil memakai jersi pasukan pilihan masing-masing untuk berjaga-jaga sehingga sepak mula final di Berlin, Jerman itu pada jam 2:45 pagi waktu Bandar Seri Begawan.

Sekumpulan peminat dan penyokong Juventus dan Barcelona yang berkumpul menyaksikan siaran langsung final Liga Juara-Juara UEFA 2015 pagi tadi.
Sekumpulan peminat dan penyokong Juventus dan Barcelona yang berkumpul menyaksikan siaran langsung final Liga Juara-Juara UEFA 2015 pagi tadi.

Ternyata kejuaraan tahun ini menjadi milik Barcelona untuk kejuaraan kelimanya daripada lapan final yang dilaluinya setelah menjuarainya pada 1992, 2006, 2009 dan 2011 sekali gus menidakkan Juventus yang pernah muncul juara pada 1985 dan 1996 daripada mencapai kejuaraan ketiganya, juga daripada lapan final.

ARTIKEL YANG SAMA