Brunei destin...

Brunei destinasi pelaburan menarik industri akuakultur

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Sumber-sumber asli yang kaya ditambah pula dengan keadaan iklim yang amat sesuai menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah destinasi pelaburan industri pertanian dan akuakultur yang menarik bagi pelabur-pelabur asing.

Menteri Negara di Kementerian Pembangunan Kebangsaan, Kementerian Perdagangan dan Perindustrian, Singapura, Dr Koh Poh Koon berkata, bagi pelabur-pelabur dari Singapura, kesemua faktor ini termasuk sumber asli, iklim, infrastruktur serta hubungan kerjasama erat dua hala di antara Brunei dan Singapura merupakan tarikan bagi mereka untuk terus meneroka peluang-peluang pelaburan dan kerjasama bersama pengusaha-pengusaha tempatan.

“Ini adalah selaras dengan hasrat dan aspirasi Brunei iaitu untuk mempelbagaikan ekonomi serta untuk mendapat manfaat daripada sektor pertanian dan akuakultur yang lumayan,” katanya mengenai potensi pelaburan Brunei bagi pelabur Singapura selepas lawatan ke beberapa lokasi industri akuakultur di Serasa, Muara, hari ini.

Pada masa yang sama, beliau berharap kedua-dua buah negara akan terus bekerjasama. Singapura mampu membantu Brunei dalam usahanya untuk mempelbagaikan ekonomi negara manakala Brunei pula dapat membantu Singapura untuk meningkatkan daya tahan makanan negara berkenaan.

Beliau turut menyatakan bahawa maklum balas daripada delegasi penggiat industri yang menyertai lawatan ke Brunei adalah amat positif.

Dr Koh bercakap kepada wartawan selepas lawatan ke beberapa lokasi industri akuakultur di Serasa, Muara, kelmarin.
Dr Koh bercakap kepada wartawan selepas lawatan ke beberapa lokasi industri akuakultur di Serasa, Muara, kelmarin.

“Mereka berpendapat, selain mendapat sambutan mesra daripada pengusaha tempatan, pegawai-pegawai Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancong turut memberikan mereka maklumat serta bantuan untuk mengetahui dengan lebih dekat mengenai peluang-peluang pelaburan dalam industri pertanian dan akuakultur Brunei.

“Semua ini memberikan mereka keyakinan untuk meneroka peluang-peluang pelaburan yang terdapat di Brunei dan saya berharap rangkaian ini serta penerokaan peluang pelaburan akan terus dipertingkatkan bagi membawa manfaat kepada kedua-dua buah negara.”

Menurut Dr Koh lagi, para delegasi penggiat industri Singapura amat teruja dengan pelbagai peluang yang terdapat di Brunei dan beberapa perbincangan yang akan dapat membuahkan hasil di masa akan datang telah dijalankan.

Beliau berharap para delegasi akan membuat lawatan susulan ke Brunei di masa terdekat bagi meneroka peluang kerjasama yang baru, mengenali dengan lebih dekat suasana industri di Brunei dan berharap usaha itu, akan membawa lebih banyak pelabur Singapura untuk meneroka peluang pelaburan di Brunei.

Dr Koh juga menyatakan harapan lebih banyak pelabur Singapura akan melabur di Brunei tetapi beliau akui bahawa para pelabur harus membuat perkiraan mereka sendiri mengenai potensi pelaburan masing-masing.

Namun begitu, beliau yakin bahawa apabila mereka melihat sendiri akan peluang-peluang yang terdapat di Brunei serta boleh membawa keuntungan bagi mereka, setentunya mereka akan berminat untuk melabur di Brunei.

Dalam hubungan itu, Dr Koh berkata sebagai pihak kerajaan, tugasan mereka adalah untuk membantu para pelabur serta untuk menjana lebih banyak peluang bagi mereka untuk menerokai pelaburan pasaran luar termasuk pasaran di Negara Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA