Brunei di tangga 58

Brunei di tangga 58

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Negara Brunei Darussalam berada di tangga ke- 58 daripada 138 ekonomi dan mencapai jumlah markah sebanyak 4.3 daripada 7 markah penuh.

Menurut Laporan Daya Saing Global (GCR) 2016-2017, yang diumumkan Forum Ekonomi Dunia (WEF) hari ini, tiga faktor utama yang menyukarkan untuk menjalankan perniagaan di Negara Brunei Darussalam ialah birokrasi kerajaan yang tidak cekap, akses kepada kewangan dan peraturan-peraturan buruh yang terhad. Laporan tersebut merupakan penilaian daya saing utama di dunia.

Switzerland berada di tempat teratas sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia untuk lapan tahun berturut-turut, diikuti rapat oleh Singapura dan Amerika Syarikat. Menyusuli mereka ialah Belanda, Jerman, Sweden, United Kingdom, Jepun, Hong Kong dan Finland.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa jurang daya saing di Asia Timur dan Pasifik kian melebar. Meskipun 13 daripada 15 ekonomi yang diliputi secara berterusan sejak 2007 telah berupaya memperbaiki skor GCR mereka dalam sedekad lalu,

tahun ini menyaksikan pembalikan bagi beberapa pasaran besar yang sedang muncul di rantau itu di mana Malaysia terkeluar daripada senarai 20 teratas jatuh dari tangga ke-7 ke tangga 25; Thailand jatuh dua anak tangga ke tangga 34; Indonesia susut empat anak tangga ke kedudukan 41 manakala Filipina merosot 10 anak tangga ke tangga 57.

Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, berikutan dengan penurunan harga minyak dunia yang jatuh merudum dalam purata harga sekitar USD110 setong pada tahun 2010 hingga pertengahan 2014 dan seterusnya jatuh di bawah paras USD50 setong telah pun mengakibatkan ekonomi negara terjejas dan mengalami pertumbuhan ekonomi negatif yang menjejaskan kedudukan makro-ekonomi negara.

Dengan itu, laporan tahun ini dikeluarkan selaras dengan inisiatif dan fokus kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi memantapkan iklim perniagaan di negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia telah pun mengambil langkah-langkah bagi meningkatkan usaha dalam mempelbagaikan ekonomi negara dan memastikan kemapanan dijangka masa panjang dapat dikekalkan.

“Kerajaan juga mengambil berat akan tahap kecekapan perkhidmatan awam dalam terus menerajui peningkatan tahap daya saing negara.

“Sebagai satu langkah komprehensif ke arah mendukung iklim pro-bisnes yang telah pun disambut baik oleh Bank Dunia pada tahun ini, Jawatankuasa Pandu Ease of Doing Business giat menerajui usaha reformasi bagi mempermudah-cara kecekapan proses-proses kerajaan, memastikan kos yang kompetitif dalam menjalankan perniagaan dan penyelarasan perundangan yang seimbang dengan amalan terbaik antarabangsa.”

Kenyataan itu berkata, usaha-usaha reformasi yang dapat dilihat ialah seperti penubuhan Business Support Centre (BSC) di Anggerek Desa sebagai fokal utama bagi pengusaha dalam mendapatkan perkhidmatan yang berkaitan dengan proses kerajaan; penubuhan sistem Pendaftaran Cagaran (Collateral Registry) pada bulan Disember 2016 dalam mempermudah mendapat kemudahan pembiayaan kewangan bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS); dan rebiu serta pembaikan holistik kepada dasar dan proses mendapatkan pekerja pada bulan Oktober 2016 bagi mendukung ekosistem perniagaan, sekali gus menepati keperluan dan aspirasi pengusaha-pengusaha di negara ini.

Menurut kenyataan itu lagi, negara melihat peningkatan iklim perniagaan merupakan asas utama dalam meningkatkan tahap daya saing negara bagi memupuk trajektori pertumbuhan ekonomi selaras dengan matlamat Wawasan Brunei 2035.

Ke arah ini, kerjasama erat di antara pihak kerajaan dengan sektor swasta adalah kunci utama kepada kejayaan dalam merangsang perkembangan di dalam sektor bukan minyak dan gas.

Dalam laporan tahun ini, peningkatan penyertaan daripada sektor swasta dapat dirasai dengan penglibatan daripada pelaburan langsung asing (FDIs), syarikat-syarikat milik kerajaan (GLCs) serta PKS yang meliputi beberapa sektor seperti minyak dan gas, pertanian, perdagangan, logistik dan perhubungan.

“Ekoran daripada penyertaan Negara Brunei Darussalam pada tahun ini dan penilaian terhadap 12 teras di dalam GCR, Majlis Tertinggi Wawasan Brunei 2035 akan memantau kedudukan negara dan menjadikan laporan tahun ini sebagai baseline nasional dalam mengenal pasti tahap daya saing dan mercu ke arah meningkatkan fokus untuk mendorong perkembangan sosioekonomi di jangka masa panjang.

Dalam mendorong kedayasaingan ekonomi, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia juga mengenalkan beberapa dasar pembaharuan ekonomi seperti penubuhan Majlis Perancangan Tenaga Manusia di bawah pimpinan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri selaku Pengerusi Majlis ke arah pensejajaran sumber tenaga pekerja dengan keperluan kemahiran ekonomi masa kini; penubuhan Jawatankuasa Pandu Pelaburan Langsung Asing dan Industri Hiliran dalam menggalakkan pelaburan langsung asing ke negara ini; dan penubuhan Darussalam Enterprise (DARE) dalam mendukung perkembangan pengusaha-pengusaha tempatan.

Dengan penggunaan kaedah perangkaan WEF, kajian tersebut merangkumi pendapat pemimpin perniagaan di negara ini mengenai isu-isu yang berkaitan dengan tahap daya saing nasional seperti keadaan institusi sesebuah ekonomi, iklim perniagaan, iklim makro-ekonomik, perkembangan teknologi, sumber tenaga pekerja, kesihatan, pendidikan dan infrastruktur, dan lain-lain.

Sebagai salah satu persediaan bagi laporan tahun ini, WEF dan Negara Brunei Darussalam melalui Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri dan Universiti Brunei Darussalam telah pun menjalankan Kajian Global Competitiveness iaitu Executive Opinion Survey pada bulan Mac sehingga bulan Mei tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA