Brunei dijangka jadi ahli ke-7 CTI-CFF

Brunei dijangka jadi ahli ke-7 CTI-CFF

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Negara Brunei Darussalam dijangka menjadi ahli ketujuh Inisiatif Segi Tiga Terumbu Karang, Perikanan dan Keselamatan Makanan (CTI-CFF) pada November depan.

Sebelum menjadi ahli CTI-CFF, pelbagai usaha harus dilaksanakan bagi mempersiapkan faktor-faktor penting seperti teknikal, deklarasi, usaha dan kerjasama yang harus dilaksanakan dan disahkan dahulu.

Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar menekankan perkara ini ketika ditemui pada majlis kunjungan hormat daripada Pengarah Eksekutif Sekretariat Serantau CTI-CFF, Profesor Dr. Widi Agoes Pratikto yang berpangkalan di Manado, Republik Indonesia.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua belah pihak bertukar-tukar pendapat mengenai proses penerimaan Brunei Darussalam sebagai ahli negara baru di dalam CTI-CFF.

Profesor Dr. Widi Agoes Pratikto (3 kiri) menyampaikan cenderamata kepada Yang Berhormat Pehin Haji Yahya.
Profesor Dr. Widi Agoes Pratikto (3 kiri) menyampaikan cenderamata kepada Yang Berhormat Pehin Haji Yahya.

Kedua-dua pihak juga bersetuju dalam memperkukuhkan kerjasama serantau dan usaha kerjasama melalui latihan dan bertukar-tukar pakar, kakitangan dan penyelidik bagi melaksanakan aktiviti di dalam pelan tindakan Serantau
CTI-CFF.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, CTI-CFF adalah kerjasama pelbagai hala dari enam buah negara yang ditubuhkan pada tahun 2007 bagi menangani ancaman pantai dan sumber marin di salah satu kawasan yang mempunyai paling banyak biologi dan ekologi terkaya di bumi.

Negara-negara ahli CTI-CFF adalah Malaysia, Filipina, Indonesia, Papua New Guinea, Kepulauan Solomon dan Timor-Leste.

Semasa Mesyuarat Menteri-Menteri CTI-CFF ke-5 di Manado, Republik Indonesia, pada 5 Mei 2014, Brunei Darussalam telah mengesahkan semula niat untuk menjadi ahli CTI-CFF dan status negara pemerhati dicapai.

Sebagai ahli CTI-CFF, Brunei Darussalam akan memperkukuhkan kerjasama penyelidikan dalam memahami eko-sistem marin dan membangun strategi pengurusan yang efektif bagi kebaikan masyarakat global.

ARTIKEL YANG SAMA