Brunei dilanda jerebu

Brunei dilanda jerebu

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Mac – Brunei Darussalam telah dilanda jerebu sejak 20 Mac lalu, dengan jarak penglihatan mendatar minimun hanya sejauh tiga hingga sembilan kilometer.

Keadaan berjerebu ini disebabkan asap berikutan kebakaran hutan dalam negara dan jerebu rentas sempadan dari negara jiran yang ditiup angin Timur Laut.

Cuaca kering dalam negara yang berlarutan dan kekerapan hujan yang jauh berkurangan sejak beberapa minggu kebelakangan ini juga menyebabkan keadaan berjerebu berterusan.

Jabatan Kaji Cuaca menyatakan bahawa mereka akan terus memantau keadaan cuaca dan perubahan iklim, serta akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca apabila perlu.

Bagi mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai boleh menghubungi pegawai kaji cuaca bertugas di Pusat Ramalan Kaji Cuaca Brunei menerusi Talian Cuaca 114 atau melayari laman sesawang pusat berkenaan di www.gov.bn atau Facebook (bruneiweather) dan aplikasi Brunei WX.

Sementara itu, di Malaysia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga termasuk minum air secukupnya serta mengehadkan aktiviti luar berikutan cuaca panas yang melanda negara itu.

Najib berkata beliau menerima laporan terkini bahawa cuaca panas di Malaysia semakin membimbangkan dengan suhu menghampiri 40 darjah Celcius.

“Kementerian Kesihatan turut melaporkan sembilan kes berkaitan cuaca panas melampau termasuk masalah kelesuan haba dan kekejangan haba.

“Saya menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga termasuk minum air secukupnya dan mengehadkan aktiviti luar,” kata Najib menerusi akaun Facebook rasmi beliau hari ini.

Najib juga meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk memantau golongan kurang bernasib baik seperti gelandangan dan warga tua.

“Bantu mereka untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan jika diperlukan,” katanya.

Di Putrajaya, Kementerian Kesihatan merekodkan 99 kes termasuk satu kematian berkaitan haba dari 1 Mac hingga semalam.