Brunei diramal alami cuaca aktif hingga Sabtu

Brunei diramal alami cuaca aktif hingga Sabtu

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Dis – Negara Brunei Darussalam berpotensi mengalami keadaan cuaca yang aktif antara 16 hingga 19 Disember (Sabtu) ini, berkemungkinan hujan berserta angin ribut melintas sekali-sekala, dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 50 kmsj, terutama di kawasan laut.

Keadaan ombak di Perairan Brunei juga dijangka boleh meningkat dari paras Sederhana hingga Bergelora sehingga 2.5 m, terutama di kawasan lepas pantai, kata Pemangku Pengarah Kaji Cuaca, Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, Dayang Rokiah binti Haji Angas dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan ini adalah susulan Taufan Melor yang berada di sebelah Timur Filipina dan bergerak menuju ke Barat dengan kelajuan 20 kmj berserta angin kencang selaju 176 kmj. Menurut ramalan Pusat Amaran Taufan Bersama Hawai, Amerika Syarikat, ia dijangka terus bergerak melintasi Filipina.

Mengikut maklumat cuaca terkini, intensiti Taufan Melor dijangka akan berkurangan setelah ia melintasi Filipina pada 15 dan 16 Disember. Menjelang 17 Disember, kekuatan taufan berkenaan terus diramalkan berkurangan dan menjadi tekanan rendah ketika berada di kawasan Laut China Selatan.

Sehubungan dengan itu, orang ramai terutamanya para pemandu di jalan raya dan juga para nelayan dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga, demi menjamin keselamatan semua, terutama semasa keadaan cuaca yang aktif yang berkemungkinan berlaku dalam beberapa hari lagi.

Jabatan Kaji Cuaca akan terus memantau perkembangan dan mengikuti Taufan Melor dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca apabila perlu mengikut Prosedur Operasi Standard Jabatan.

Untuk mendapatkan maklumat cuaca terkini, orang ramai bolehlah menghubungi Pegawai Peramal Kajicuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca Brunei, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau mengikuti laman Facebook (bruneiweather) dan aplikasi bimbit Brunei WX.

ARTIKEL YANG SAMA