Brunei finalis Anugerah Minggu Kewangan Global

Brunei finalis Anugerah Minggu Kewangan Global

LONDON, 13 Dis – Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pendidikan menjadi salah sebuah daripada tiga negara finalis Anugerah Minggu Kewangan Global (GMW) 2015 bagi rantau Asia Pasifik.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini mengatakan pengumuman itu dibuat oleh Penasihat Serantau bagi Kewangan Antarabangsa Kanak-kanak dan Remaja rantau Asia dan Pasifik, yang merupakan penganjur majlis anugerah itu yang melaporkan bahawa Brunei Darussalam mendahului dalam Rantau Asia-Pasifik berbanding 23 negara-negara lain.

Pengumuman dibuat dalam Majlis Anugerah Kewangan Antarabangsa Kanak-kanak dan Remaja Tahunan ke-4 di Dewan Parlimen, London, United Kingdom.

Finalis Minggu Kewangan Global berdasarkan rantau termasuklah Afrika – Etiopia, Rwanda, Zambia; Amerika – Guatemala, Colombia, Paraguay; Asia-Pasifik – Brunei Darussalam, Nepal, Bangladesh; Eropah-Asia Tengah: Belanda, Belarus; Timur Tengah/Afrika Utara: Yaman, Mesir.

Peserta Brunei diwakili oleh Pengarah Pengajian Unit Pelajar Brunei, Awang Ahmad Faisal bin Haji Zainal Abidin.

Lawatan Ke Kementerian Kewangan oleh pelajar-pelajar sekolah rendah semasa aktiviti GMW yang diadakan di Negara Brunei Darussalam pada sekitar bulan Mac.
Lawatan Ke Kementerian Kewangan oleh pelajar-pelajar sekolah rendah semasa aktiviti GMW yang diadakan di Negara Brunei Darussalam pada sekitar bulan Mac.
Para pelajar sekolah menengah membuat aktiviti semasa GMW 2015.
Para pelajar sekolah menengah membuat aktiviti semasa GMW 2015.

Selepas penilaian ke atas semua rantau yang menyertainya, juara keseluruhan dimenangi oleh Guatemala.

GMW diadakan antara 9 dan 17 Mac di Brunei, merupakan sebahagian daripada kriteria penilaian bagi anugerah itu yang dianjurkan bersama oleh Unit Keusahawanan dan Perniagaan, dan Unit Projek Khas, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan dan Tabung Amanah Pekerja (TAP), Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD), perancang kewangan bertauliah dari pelbagai institusi kewangan (Pusat bagi Perbankan Islam, Kewangan dan Pengurusan (CIBFM), Royal Bank of Canada – Brunei, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Bank Baiduri di negara ini.

Pencapaian itu menandakan komitmen Brunei Darussalam ke arah memperkasakan kanak-kanak dan remaja sebagai warganegara ekonomi melalui aktiviti terancang sejajar dengan Minggu Kewangan Global. Ia melibatkan pelbagai program kesedaran dan aktiviti termasuklah ceramah mengenai kehendak dan keperluan, perbincangan mengenai kepentingan mula menabung, sesi interaktif dengan CIBFM, Royal Bank of Canada – Brunei, BIBD dan Bank Baiduri, lawatan ke Galeri Mata Wang di Kementerian Kewangan, TAP dan juga membuat sepanduk untuk menyemai kesedaran celik kewangan.