Brunei hormati dasar ‘One-China’

Brunei hormati dasar ‘One-China’

BEIJING, 1 Jun – Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Ambassador-at-Large di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, memulakan hari keempat lawatan ke Republik Rakyat China hari ini dengan membuat lawatan ke Forbidden City di Beijing.

Pada sebelah malam, Yang Teramat Mulia berangkat menghadiri majlis resepsi bagi memperingati ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.

Majlis resepsi tersebut merupakan anjuran bersama Kedutaan Besar Negara Brunei Darussalam di Republik Rakyat China dan Persatuan Persahabatan Rakyat China dengan Negara-negara Luar (CPAFFC).

Semasa majlis tersebut, Yang Teramat Mulia, selaku tetamu kehormat, antara lain ber-sabda bahawa Negara Brunei Darussalam terus menghormati dasar ‘One-China’.

YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersama Zhang Qingli semasa majlis resepsi bagi memperingati ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik Brunei-China.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Masna bersama Zhang Qingli semasa majlis resepsi bagi memperingati ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik Brunei-China.

Yang Teramat Mulia seterusnya telah mengiktiraf perkembangan hubungan dua hala di antara kedua-dua buah negara sepanjang 25 tahun terutama sekali dalam bidang tenaga, infrastruktur serta kerjasama di antara rakyat kedua-dua buah negara.

Naib Pengerusi Persidangan Perundingan Politik Rakyat China (CPPCC), Zhang Qingli merupakan wakil dari Republik Rakyat China pada majlis itu.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah pegawai-pegawai dari kerajaan Republik Rakyat China, persatuan persahabatan dan ahli-ahli diplomatik di Beijing.

Yang Teramat Mulia diiringi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Lela Cheteria Sahibun Najabah Pengiran Anak Haji Abdul Aziz bin Pengiran Jaya Negara Pengiran Haji Abu Bakar.

Yang Teramat Mulia membuat lawatan ke Republik Rakyat China atas jemputan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri Republik Rakyat China sempena dengan perayaan ulang tahun ke-25 hubungan diplomatik di antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Rakyat China.

 

ARTIKEL YANG SAMA