Brunei hos Digitsa Teens 2015

Brunei hos Digitsa Teens 2015

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Ogos – Negara Brunei Darussalam khususnya Radio Televisyen Brunei (RTB), buat kali pertama, akan menjadi hos kepada projek Digista Teens Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) 2015, pada 18 hingga 23 November nanti.

Digista Teens 2015 merupakan sebuah rancangan televisyen yang diterbitkan bersama ABU, bertujuan menyokong perkembangan belia muda Asia dalam penghasilan rancangan animasi pendek.

Ia bukannya pertandingan tetapi merupakan pesta imej antarabangsa yang memberikan peluang kepada golongan remaja dari Asia untuk beraksi dan saling mencabar di antara satu sama lain dalam penghasilan filem melalui animasi.

Sehubungan itu, Bengkel ABU Digitsa Teens 2015 yang berlangsung di K-Hub, Anggerek Desa hari ini merupakan peringkat pertama dalam pelaksanaan projek berkenaan di mana peserta-peserta bengkel diberikan peluang mempelajari mengenai imej-imej yang dihasilkan oleh penyiar dan pakar animasi bagi mengasah bakat-bakat belia berkenaan.

Pelancaran bengkel berkenaan disempurnakan oleh Ketua Kejuruteraan RTB, Dayang Lim Soh Kwang. Turut hadir ialah Pegawai Eksekutif dari Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB), Dayangku Sharifah Elia Baizura binti Pengiran Anak Baharul Alam, pegawai dari Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE), Dayang Norazlina binti Othman dan pegawai pendidikan, Dr Syazana Ebil.

Dayang Lim ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Dayang Lim ketika menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

Dayang Lim dalam ucapannya berkata Projek ABU Digista Teens 2015 bertema Kegembiraan itu, bermatlamat untuk mengasah bakat-bakat muda Asia dalam menghasilkan imej menggunakan teknologi digital.

Ia dibahagikan kepada empat peringkat dengan bengkel yang dilaksanakan itu merupakan peringkat pertama di mana belia yang menyertai projek itu akan diberikan pendedahan dalam penghasilan karya seni digital.

Di akhir bengkel, sebuah pasukan akan dipilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam di dalam Pesta Imej Antarabangsa yang akan diadakan pada November nanti.

Di peringkat kedua, pasukan yang dipilih akan menghasilkan sebuah filem animasi pendek berdasarkan kepada tema Kegembiraan dengan proses penghasilan itu dirakam sebagai dokumentari pendek.

Peringkat ketiga pula merupakan acara kemuncak iaitu Pesta Imej Antarabangsa yang akan dihoskan oleh RTB pada November nanti di mana pasukan-pasukan dari negara anggota akan mengambil bahagian untuk mempamerkan hasil kerja masing-masing termasuk dokumentari-dokumentari yang menunjukkan proses kreatif penghasilan filem berkenaan.

Peringkat keempat pula adalah penyiaran rancangan-rancangan televisyen yang akan menunjukkan Pesta Imej Antarabangsa dan proses kreatif yang dilalui dalam penghasilannya.

Bengkel yang dianjurkan oleh RTB dengan sokongan dari CRAFT, iCentre dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei itu dikendalikan oleh Konsultan Grafik/Profesional Animasi dari Los Angeles, Derek Eversfield dengan dibantu oleh dua mentor iaitu Pengarah Ambuyart Animation, Awang Mohammad Danny Azriman Haji Madni dan Pengarah Mincraft Company, Haji Mohammad Zaim Aziman Haji Ismail.

ABU Digista Teen 2015 akan diadakan di RTB, Kompleks Sungai Akar di mana ia disertai oleh pasukan-pasukan dari lapan buah negara ahli ABU iaitu Negara Brunei Darussalam, Mongolia, Bhutan, Malaysia, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA