Brunei hos persidangan perisikan Asia Pasifik

Brunei hos persidangan perisikan Asia Pasifik

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Sept – Negara Brunei Darussalam akan menghoskan Persidangan Ketua-ketua Perisikan Asia Pasifik (APICC) ke-8, yang akan bermula esok di Empire Hotel & Country Club, Jerudong.

Persidangan selama tiga hari itu yang dianjurkan bersama oleh Kementerian Pertahanan melalui Direktorat Perisikan dan Pusat Kawalan Pasifik Amerika Syarikat (USPACOM), akan dirasmikan oleh Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.

Menurut kenyataan Kementerian Pertahanan, ini merupakan kali pertama Brunei dan Amerika Syarikat menjadi hos bersama persidangan penting itu.

APICC bertujuan mempromosikan dialog terbuka kepada ketua-ketua perisikan tentera di rantau Asia Pasifik bagi membangunkan rangkaian mereka serta meningkatkan kerjasama ke arah tindak balas lebih bersepadu ke atas cabaran-cabaran keselamatan bersama.

Persidangan tahun ini membawa tema “Mengejar Kestabilan Menerusi Kerjasama Perisikan Pertahanan” dan disertai oleh ketua-ketua dan perwakilan pertubuhan-pertubuhan perisikan tentera dari 24 buah negara iaitu Australia, Bangladesh, Brunei Darussalam, Kemboja, Kanada, China, Perancis, Indonesia, Jepun, Republik Korea, Laos, Malaysia, Maldives, Mongolia, Nepal, New Zealand, Pakistan, Filipina, Singapura, Thailand, Tonga, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Di samping APICC, pelbagai mesyuarat dua hala di antara negara-negara yang ikut serta juga akan diadakan.

Dimulakan di Kuala Lumpur oleh USPACOM pada 2007, APICC berperanan sebagai tempat perhimpunan serantau tahunan yang memberikan peluang kepada ketua-ketua perisikan tentera untuk berkumpul, berinteraksi rapat dan membincangkan hal-hal kerjasama dalam bidang perisikan.

Kerelevanannya yang berterusan menjadi gambaran kuat akan kepentingannya dalam membentuk kerjasama dinamik bagi menangani cabaran-cabaran keselamatan pelbagai aspek di Asia Pasifik.

ARTIKEL YANG SAMA