Brunei hoskan bola sepak Asia Tenggara U-14

Brunei hoskan bola sepak Asia Tenggara U-14

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Negara Brunei Darussalam akan menjadi tuan rumah kepada Pesta Bolasepak B-14 (Bawah 14 Tahun) Serantau AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) 2015 bagi rantau Asia Tenggara pada 10 Ogos hingga 23 Ogos 2015.

Lapan buah Negara Asia Tenggara iaitu Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor Leste and Vietnam akan turut memeriahkan festival berkenaan dengan menghantar para pemain B-14 masing-masing ke negara ini pada tarikh-tarikh berkenaan.

Maka sebagai persiapan awal ke arah memastikan pesta itu nanti berlangsung dengan lancar dan jayanya, Mesyuarat Pesta Bolasepak B-14 Serantau AFC 2015 telah pun diadakan pada 2 Jun lalu di NFABD House.

Menghadiri mesyuarat berkenaan ialah Pengurus Pesta AFC, Dr Shamil Kamil, Pengerusi Pesta, Md Radzuan Bin Haji Madali serta perwakilan daripada pihak berkepentingan yang lain seperti Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pasukan Polis Diraja Brunei dan Pasukan Bomba & Penyelamat.

Dr Shamil dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa acara itu adalah untuk pembelajaran dan perkembangan, bukan saja untuk para pemain tetapi juga buat penganjur.

Menurutnya, kejayaan penganjuran pesta itu nanti akan menyaksikan lebih banyak acara-acara dan pertandingan-pertandingan bolasepak tertinggi bertaraf antarabangsa akan diberikan kepercayaan penganjurannya kepada Negara Brunei Darussalam.

Pesta serupa sudah pun berlangsung awal tahun ini bagi rantau Asia Barat di Arab Saudi dan bagi rantau Asia Tengah dan Selatan di Tajikistan. Selepas perlaksanaan pesta berkenaan bagi rantau Asia Tenggara di Brunei Darussalam, pesta akan diteruskan untuk rantau Asia Timur pula yang akan dijalankan di China.

Adapun tujuan penganjuran pesta itu adalah bagi menyediakan laluan perkembangan berterusan untuk para pemain dari peringkat akar umbi, di peringkat sekolah sehinggalah ke peringkat elit, dan seterusnya memastikan perubahan yang lancar bagi pemain elit memasuki tahap antarabangsa.

Ia juga bagi mempertingkat peranan program-program perkembangan belia di dalam Persatuan-persatuan Ahli (Member Associations – MA) di samping menggalakkan MA melaksanakan persiapan awal untuk pasukan-pasukan kebangsaan masing-masing menyertai pertandingan-pertandingan AFC/FIFA di masa akan datang.

Tidak kurang pentingnya juga pesta itu turut menyediakan platform yang sesuai untuk menemui, mengenalpasti dan mengambil jurulatih-jurulatih dan pengadil-pengadil muda yang berbakat.

Pesta bolasepak berkenaan merupakan peluang terbaik untuk setiap rantau di Asia terutama Asia Tenggara untuk mempertingkat standard keseluruhan pencapaiannya untuk bersaing rapat dengan rantau-rantau lain.

Itu kemudiannya akan memberikan faedah bersama buat Asia mempertingkatkan standard keseluruhannya bersaing di peringkat global terutama sekali dalam Piala Dunia FIFA yang dianjurkan setiap empat tahun sekali.