Brunei I julang Piala Jubli Emas

Oleh Mohamad Asyramisyanie

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Polo Jubli Emas 2017 di Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong.

Berangkat sama menyaksikan perlawanan di antara Pasukan Brunei I dan Pasukan Brunei II itu ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah.

Turut berangkat ke perlawanan tersebut ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Wakeel, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Hajah Zariah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran

Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.

Juga berangkat menyaksikan perlawanan itu ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Hafizah Sururul Bolkiah, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Fadzilah Lubabul Bolkiah dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Ameerah Wardatul Bolkiah serta ahli-ahli kerabat diraja yang lain.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia berserta kerabat diraja yang lain ketika berkenan menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Polo Jubli Emas.
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YAM Pengiran Muda Abdul Qawi berkenan ketika berkenan beraksi dalam perlawanan akhir Kejohanan Polo Jubli Emas menentang Pasukan Brunei II. – Infofoto
YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah ketika berkenan beraksi dalam perlawanan akhir Kejohanan Polo Jubli Emas menentang Pasukan Brunei II.

Pasukan Brunei I diwakili oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Huzaimi Mahari dan Lucas Fernandez muncul juara apabila berjaya menewaskan Pasukan Brunei II.

Pasukan Brunei II pula dibarisi oleh Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Bahar, Pablo Ceasarez dan Marinela Castangeola.

Pada caka pertama Pasukan Brunei I berjaya mendahului perlawanan dengan kedudukan 4-0 menerusi YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dan Lucas.

Manakala pada caka kedua pula Pasukan Brunei II cuba bangkit dengan menjadikan kedudukan 4-2, namun Pasukan Brunei I sempat menjaringkan satu gol.

Perlawanan semakin sengit pada caka ketiga apabila kedudukan menjadi 7-5, yang menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan.

Dalam caka keempat, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen kemudian memastikan kemenangan milik Pasukan Brunei I dengan memperoleh dua jaringan bagi menjadikan keputusan akhir 9-5 untuk menjulang Piala Jubli Emas 2017.