Brunei, India tandatangan MoU

Brunei, India tandatangan MoU

Oleh Syahmi Hassan, Pg Fairol RMF

Gambar oleh Bahiyah Bakir, Pg Fairol RMF & Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Kerajaan India dan Negara Brunei Darussalam telah memperkukuhkan lagi kerjasama dengan penandatanganan memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, kesihatan serta belia dan sukan.

Penandatanganan MoU yang melibatkan tiga kementerian Negara Brunei Darussalam, iaitu Kementerian Pertahanan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Kementerian Kesihatan, itu telah berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini dengan disaksikan oleh Naib Presiden Republik India, Tuan Yang Terutama Dr. M. Hamid Ansari.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi dan Timbalan Menteri Pertahanan, Laksamana Pertama (B) Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit.

Pada majlis itu, penandatanganan MoU dengan ketiga-ketiga agensi kerajaan Brunei telah diwakili oleh Setiausaha (Timur) di Kementerian Hal Ehwal Luar, Republik India, Anil Wadhwa.

Datin Paduka Hajah Suriyah dan Anil Wadhwa ketika menandatangani memorandum persefahaman.
Datin Paduka Hajah Suriyah dan Anil Wadhwa ketika menandatangani memorandum persefahaman.
Hadir bagi menyaksikan majlis penandatanganan MoU itu ialah Tuan Yang Terutama Dr. M. Hamid Ansari, (dua kanan), Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi (dua kiri), Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain (kanan sekali) dan Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz (kiri sekali).
Hadir bagi menyaksikan majlis penandatanganan MoU itu ialah Tuan Yang Terutama Dr. M. Hamid Ansari, (dua kanan), Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi (dua kiri), Yang Berhormat Dato Paduka Dr. Haji Zulkarnain (kanan sekali) dan Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz (kiri sekali).
Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan dan Setiausaha (Timur) di Kementerian Hal Ehwal Luar, Republik India ketika menandatangani memorandum persefahaman.
Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan dan Setiausaha (Timur) di Kementerian Hal Ehwal Luar, Republik India ketika menandatangani memorandum persefahaman.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy dan Anil Wadhwa ketika menandatangani memorandum persefahaman.
Dato Paduka Dr. Haji Affendy dan Anil Wadhwa ketika menandatangani memorandum persefahaman.

Majlis telah didahului dengan penandatanganan MoU antara kerajaan India dengan Kementerian Pertahanan yang diwakili oleh Setiausaha Tetap di Kementerian Pertahanan, Datin Paduka Hajah Suriyah binti Haji Umar.

MoU ini merangkumi rangka kerja bagi kerjasama pertahanan dua hala di antara Negara Brunei Darussalam dan India, seperti pertukaran lawatan di antara pegawai tentera dan pertahanan, kursus-kursus dan juga latihan ketenteraan dua hala.

Kemudian, majlis menyaksikan penandatangan MoU dengan KKBS yang ditandatangani oleh Setiausaha Tetap di KKBS, Dato Paduka Dr. Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Menerusi MoU ini, kedua-dua belah pihak akan berusaha untuk mendorong dan menggalakkan kerjasama dalam bidang belia dan sukan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik India.

Antara aktiviti yang diharap dapat dilaksanakan, termasuk program pertukaran; promosi sukan termasuk kemudahan dan peralatan, persediaan latihan dan fizikal, pengurusan dan pentadbiran kejurulatihan dan sukan; serta pertukaran maklumat dalam bidang hal ehwal belia.

Seterusnya, majlis menyaksikan penandatanganan MoU dengan Kementerian Kesihatan yang diwakili Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Zakaria bin Haji Serudin.

Bidang-bidang kerjasama yang telah dikenal pasti dan dipersetujui untuk dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam dan Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Keluarga Republik India melalui MoU berkenaan adalah pertukaran pegawai-pegawai perubatan, pakar-pakar dan profesional kesihatan yang lain, perkembangan sumber tenaga manusia, pertukaran maklumat mengenai kesihatan, informatif kesihatan,

Selain itu, kedua-dua pihak juga akan bekerjasama dalam perkembangan penyelidikan perubatan dan kesihatan, peraturan-peraturan farmaseutikal, peralatan perubatan dan kosmetik, promosi peluang-peluang perniagaan dalam perkembangan farmaseutikal, pencegahan penyakit dan promosi kesihatan, ubat-ubatan tradisional dan komplementari serta mana-mana bidang kerjasama lain yang akan ditetapkan bersama oleh kedua-dua buah kerajaan.

Semua MoU di antara kedua-dua buah negara ini diharap akan dapat mengeratkan lagi kerjasama dalam bidang pertahanan, bidang belia dan sukan, serta bidang kesihatan.

Selepas majlis penandatangan antara tiga agensi kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dengan kerajaan Republik India, para tetamu yang hadir telah dialu-alukan untuk menikmati jamuan yang telah disediakan.

ARTIKEL YANG SAMA