Brunei, Jepun perkukuh hubungan perdagangan

Brunei, Jepun perkukuh hubungan perdagangan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Dis – Hubungan dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Jepun telah berkembang melalui kekayaan sumber aslinya yang berjaya menghasilkan pendapatan dengan menggunakan teknologi yang ditawarkan oleh syarikat Jepun dan sistem pemasaran mereka.

Pada hari ini, syarikat-syarikat tersebut dan beberapa syarikat baru dari Jepun yang ingin membuat pelaburan atau mengembangkan perniagaan mereka di negara ini mengadakan pameran untuk dilawati oleh para hadirin.

Pandangan itu dibuat oleh Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Noriko Iki, ketika berucap pada Sambutan Hari Keputeraan ke-82 tahun Maharaja Jepun.

Hadir selaku tetamu kehormat sebagai wakil kepada kerajaan Negara Brunei Darussalam ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar dan isteri.

Tetamu kehormat berserta isteri dan Puan Yang Terutama Noriko Iki ketika memotong kek sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-82 Maharaja Jepun.
Tetamu kehormat berserta isteri dan Puan Yang Terutama Noriko Iki ketika memotong kek sempena Sambutan Hari Keputeraan ke-82 Maharaja Jepun.
Antara jemputan yang hadir ke majlis itu.
Antara jemputan yang hadir ke majlis itu.

Turut hadir ialah para pegawai kanan kerajaan serta perwakilan negara asing di Negara Brunei Darussalam.

Puan Yang Terutama dalam ucapannya memetik kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe pada ulang tahun ke-70 tamatnya Perang Dunia ke-2 berkata, negara ini telah dijajah oleh Jepun sepanjang abad ke-20 .

Bagaimanapun, Jepun dan Brunei telah mewujud dan mengeratkan hubungan persahabatan sejak kemerdekaan, maka berdasarkan sejarah itu, beliau komited untuk berusaha segigih mungkin untuk mewujudkan hubungan dua hala yang lebih strategik dan memanfaatkan kedua-dua pihak.

Menyentuh mengenai pelaburan syarikat Jepun di negara ini, beliau menaruh keyakinan bahawa kehadiran syarikat itu akan dapat memberikan sumbangan kepada pembangunan negara dan kepelbagaian ekonomi negara ini yang sekali gus akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

Selain itu, beliau juga ingin melihat lebih banyak bantuan dari Jepun disalurkan dalam bidang latihan vokasional di negara ini, terutamanya setelah beroperasinya beberapa buah kilang milik syarikat Jepun pada tahun depan.

Di samping itu, penglibatan pusat pengajian tinggi Jepun seperti Universiti Kagawa turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi Negara Brunei Darussalam melalui kerjasama penyelidikan dengan institusi pengajian tinggi negara ini. Acara sambutan itu dimulakan dengan ketibaan tetamu kehormat, diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam dan Jepun serta ucapan alu-aluan oleh Puan Yang Terutama.

Ini disusuli dengan upacara kemuncak iaitu memotong kek ulang tahun Hari Keputeraan Maharaja Jepun oleh Puan Yang Terutama dan tetamu kehormat.

ARTIKEL YANG SAMA