Brunei juarai Golf Senior Asia Tenggara

Brunei juarai Golf Senior Asia Tenggara

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Sept – Pasukan Golf Senior Brunei Darussalam dinobatkan sebagai juara keseluruhan Kejohanan Golf Amatur Senior Negara-Negara Asia Tenggara Ke-33 2016 pada majlis penyampaian hadiah dan penutupan rasmi kejohanan itu di Hotel Parkview, Jerudong, di sini, hari ini.

Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Dengan jumlah 62 kutipan mata Pasukan Brunei Darussalam menewaskan Pasukan Thailand yang berada di tempat kedua diikuti oleh Pasukan Filipina di tempat ketiga, Malaysia di tempat keempat dan Singapura dan Indonesia masing-masing di tempat kelima dan keenam.

Pasukan Filipina yang disertai oleh Eduardo Bagtas, Cipriano Abdon, Eddy Jose Manzanarez dan Lino Magpantay tampil juara dalam Kategori Gross dan membawa pulang trofi pusingan Tun Henry H.S. Lee.

Sementara itu, bagi Bahagian Nett Berkumpulan pula dimenangi Pasukan Brunei Darussalam yang disertai oleh Pengiran Haji Hassim bin Pengiran Haji Osman, Haji Raya Dollah, Hanafiah Besar dan Leftenan Kolonel (B) Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Tuah dengan membawa pulang Piala Cabaran Zakir.

Ketua pasukan Brunei menjulang piala kejuaraan keseluruhan dalam Kejohanan Golf Amatur Senior Negara-Negara Asia Tenggara Ke-33 2016 sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain.
Ketua pasukan Brunei menjulang piala kejuaraan keseluruhan dalam Kejohanan Golf Amatur Senior Negara-Negara Asia Tenggara Ke-33 2016 sambil disaksikan oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain.

Dalam Kategori Gross Perseorangan pula menyaksikan pemain dari Filipina, Eduardo Bagtas membawa pulang Piala Cabaran Sultan Sallahuddin apabila diumumkan sebagai pemenang diikuti oleh peserta Thailand, Narintanarat Kumtean di tempat kedua dan Haji Raya Dollah dari Brunei Darussalam di tempat ketiga.

Sekali lagi peserta Filipina naik ke pentas untuk menjulang Piala Cabaran Mondonedo apabila berjaya memenangi Kategori Nett Perseorangan iaitu Ricardo Loyola diikuti peserta Thailand di tempat kedua iaitu Chaiyuth Khumpoo dan peserta Brunei Darussalam Pengiran Haji Hassim di tempat ketiga.

Peserta Brunei Darussalam Patrick Lau, Haji Abdul Khalid Haji latif, Leftenan Kolonel (B) Dato Haji Mohd Samid bin Haji Abdul Azizi, Mejar Jeneral (B) Pengiran Dato Haji Abidin bin Pengiran Ahmad, Haji Mohd Sout Moksin, Haji Abdul Latip Ghariff, Haji Hafneh bin Mohd Salleh dan Jimmy Wong pula dinobatkan juara mata individu terkumpul bagi menjulang Piala Cabaran Pongpairojana meninggalkan gabungan pemain Malaysia di tempat kedua.

Membawa pulang Piala Cabaran Toh Shung Chee dalam bahagian pemain terbaik individu Stableford pula disandang oleh peserta Brunei Darussalam Patrick Lau manakala Haji Abdul Azizi bin Haji Bangkol dari Brunei Darussalam menjuarai Kumpulan A (55-59 tahun).

Ahmad Rani juga dari Brunei Darussalam menjuarai kumpulan B (60-64 tahun), Dato Chuah Teong Tat dari Malaysia menjuarai Kumpulan C (65-69 tahun), Ng Ah Chong dari Malaysia menang Kumpulan D (70-74 tahun) dan peserta Brunei Darussalam Haji Mohd Sout Moksin memenangi Kumpulan E (75 tahun ke atas).