Brunei kekal di Peringkat ke-2

Brunei kekal di Peringkat ke-2

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Julai – Negara Brunei Darussalam mengekalkan status di Peringkat ke-2 bagi tahun 2016 dalam Laporan Pemerdagangan Manusia 2016 (TIP) yang dikeluarkan pada 30 Jun lalu oleh Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), John Kerry.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedutaan AS ke Negara Brunei Darussalam di sini, kedudukan itu menunjukkan kerajaan Brunei melakukan usaha-usaha signifikan untuk mematuhi standard minimum Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan Manusia.

Laporan itu juga mencadangkan usaha-usaha perlu bagi mempertingkatkan usahanya memerangi pemerdagangan manusia.

Laporan TIP merangkumi sistem ranking tiga peringkat yang memberikan sistem ranking terhadap usaha kerajaan membasmi pemerdagangan manusia.

Pada tahun ini, tema laporan, ‘Meeting the Challenge: Effective Strategies to Prevent Human Trafficking (Mengotakan Cabaran: Strategi Berkesan untuk Mencegah Penyeludupan Manusia) yang mengesan 3P iaitu Protokol PBB untuk ‘Mencegah Menindas, dan Menghukum Penyeludupan Manusia (Prevent, Suppress and Punish), khususnya wanita dan kanak-kanak.

“Melindungi orang-orang yang paling terdedah dalam kalangan kita daripada pemerdagangan manusia adalah tugas sukar yang merupakan tanggungjawab semua kerajaan dan manusia. Saya memuji kerajaan Brunei atas usahanya bukan sahaja melindungi kebajikan mangsa, malah memastikan penyeludup manusia dibawa ke muka pengadilan di bawah undang-undang Brunei,” kata Duta AS ke Brunei Darussalam, Craig Allen.

ARTIKEL YANG SAMA