Brunei ketengahkan 3 pavilion di CAEXPO

Brunei ketengahkan 3 pavilion di CAEXPO

Oleh Aziz Idris di Nanning, China

 

NANNING, China, 12 Sept – Dalam usaha memperkenalkan negara dalam bidang pelancongan, pelaburan dan perkongsian perniagaan di China, Negara Brunei Darussalam mengetengahkan tiga pavilion (tapak pameran) dalam penyertaan ke-13nya di Ekspo China-ASEAN, Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa, Nanning, China yang bermula semalam.

Tiga pavilion itu ialah City of Charm, Taman Pelaburan dan Industri serta Komoditi yang mempamerkan pelbagai peluang yang ditawarkan oleh negara ini dalam bentuk pelancongan, peluang pelaburan langsung asing (FDI) dan potensi perkongsian dengan PKS tempatan.

Pavilion City of Charm diwakili oleh Pegawai Pelancongan, Hajah Nur Fariza Munyati binti Haji Abdul Aji yang menyerlahkan tiga kawasan dan produk utama dalam pelancongan termasuklah Kampong Ayer, Bandar Seri Begawan dan Temburong.

Menurut Hajah Nur Fariza, ketiga-tiganya merupakan kawasan tarikan utama dan dikenali dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong asing, menambah, bahawa terdapat lapan pakej pelancongan berlainan bagi Temburong daripada enam buah operator pelancongan tempatan. Pakej-pakej ini sudah pun dipromosikan secara aktif semenjak pelancaran Destinasi Percutian Temburong pada 1 September lalu.

Pavilion Pelaburan dan Industri pula merupakan pavilion tambahan baru yang mempamerkan maklumat mengenai ‘Pelaburan di Brunei Darussalam’ yang antaranya terdiri daripada cukai yang rendah, perkongsian pelaburan bersama, persekitaran perniagaan yang mesra dan sokongan padu serta tapak-tapak industri menarik

Manakala Pavilion Komoditi mempamerkan produk dan perkhidmatan 11 buah syarikat mewakili pelbagai sektor daripada kosmetik, makanan, perubatan dan pendidikan. Tahun ini, syarikat-syarikat yang menyertai ekspo itu disenarai pendekkan daripada satu proses pendaftaran yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Khas di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Sebelas syarikat yang mewakili Brunei Darussalam itu ialah Amal Hadizat Enterprise, Betye Beauty & Health Establishment, Eman Enterprise, Persatuan Pengusaha Melayu Brunei, Ghanim International Corporation Sdn Bhd, Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB), Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS), Jerudong Park Medical Centre (JPMC), Seri Pekatan Sdn Bhd, Royal Brunei Airlines (RB), and Sahamada Corporation Sdn Bhd.

Wakil sebuah syarikat kecil, Amal Hadizat Enterprise yang membuat gajus pedas dari rumah, Pengiran Hayatul Laila Munirah berkata, “Kami meninjau peluang perniagaan berskala besar di peringkat antarabangsa dan mahu membuktikan bahawa sebuah perniagaan kecil boleh melebarkan sayapnya ke luar negara.”

ARTIKEL YANG SAMA