Brunei kini sertai PISA

Brunei kini sertai PISA

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Jun – Brunei Darussalam, secara rasminya menyertai Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) untuk menilai keberkesanan sistem pendidikan di negara ini, dengan penandatanganan perjanjian bersama Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), baru-baru ini.

Majlis penandatanganan perjanjian berkenaan telah diadakan di Ibu Pejabat OEDC, di Paris semasa Mesyuarat Lembaga Pentadbir PISA pada 14 Jun lalu, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan, di sini, hari ini.

Menandatangani bagi pihak Brunei Darussalam ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Prof. Madya Dr Haji Azman bin Ahmad dan OECD diwakili oleh Pengarah Pendidikan, Kemahiran dan Penasihat Khas mengenai Dasar Pendidikan kepada Setiausaha Agung di OECD, Andreas Schleicher.

PISA adalah kaji selidik antarabangsa yang dilaksanakan oleh OECD dengan matlamat untuk meneroka sejauh mana pelajar pada penghujung pendidikan wajib dapat mengaplikasikan pengetahuan mereka kepada situasi sebenar dan kesediaan mereka bagi penyertaan penuh dalam masyarakat.

Ia diadakan setiap tiga tahun sejak 2000, dan sehingga kini, lebih 70 buah negara di seluruh dunia telah menyertai penilaian berkenaan.

Prof. Madya Dr. Haji Azman bersama Andreas Schleicher semasa majlis penandatangan perjanjian.
Prof. Madya Dr. Haji Azman bersama Andreas Schleicher semasa majlis penandatangan perjanjian.

Menurut kenyataan itu, sebagai pejuang bersama bagi Strategi Pendidikan di bawah Wawasan Brunei 2035, Kementerian Pendidikan didorong untuk menyediakan belia bagi pekerjaan dan pencapaian dalam dunia yang semakin kompetitif dan berasaskan pengetahuan.

Inisiatif-inisiatif yang diambil oleh kementerian bermatlamat untuk mencapai sasaran negara dalam melahirkan rakyat yang berpengetahuan dan berkemahiran mengikut standard tertinggi antarabangsa.

Sewajarnya, menurut kenyataan itu, Kementerian Pendidikan telah mengenal pasti PISA sebagai alat untuk menilai prestasi pelajar di Brunei dan membandingkannya dengan negara-negara lain. Tanda aras antarabangsa dapat menunjukkan yang benar-benar mustahil dalam pendidikan, dan ia boleh menjadi pendorong sihat bagi usaha-usaha pembaharuan.

Kajian-kajian sebelumnya telah mendapati bahawa terdapat hubung kait di antara ranking tinggi dalam PISA dan prestasi ekonomi tinggi negara-negara berkenaan.

Dalam hal ini, para penyelidik telah menyimpulkan bahawa PISA boleh digunakan sebagai satu petunjuk sistem pendidikan dan sejauh mana sistem itu mempersiapkan pelajar bagi ekonomi pengetahuan global Abad ke-21.

Sebagai persediaan penyertaan pertama Brunei dalam PISA pada 2018, Kementerian Pendidikan telah memulakan beberapa kerja persediaan sejak 2014 lagi dengan penubuhan Pasukan Petugas PISA pada peringkat kementerian yang menyelia penyelarasan dan pelaksanaan PISA di Brunei.

Selaras dengan persediaan ini juga, pihak kementerian telah melaksanakan beberapa inisiatif strategik dan sangat tertumpu seperti Inisiatif-inisiatif Pendidikan Rendah, Inisiatif-inisiatif Pendidikan Menengah, Standard Literasi dan Numerasi, Standard Guru Brunei dan Reka Bentuk Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21.

Kejayaan inisiatif-inisiatif ini sangat bergantung pada usaha sama di antara pelbagai jabatan di Kementerian Pendidikan, sekolah-sekolah, guru-guru, ibu bapa dan masyarakat.

Merealisasikan mana-mana matlamat pendidikan memerlukan pendekatan seluruh negara di mana kos sesuatu aktiviti dan program dikongsi bersama dan hasilkan memanfaatkan semua.

ARTIKEL YANG SAMA