Brunei komited kepada pembangunan, kebajikan sosial

Brunei komited kepada pembangunan, kebajikan sosial

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Negara Brunei Darussalam terus memberikan keutamaan kepada pembangunan dan kebajikan sosial sebagai sebahagian daripada komponen penting untuk memastikan kesaksamaan dan kemakmuran serta menyediakan jaring keselamatan sosial yang baik.

Di samping itu, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman memuji Suruhanjaya ASEAN bagi Promosi dan Perlindungan Hak Wanita dan Kanak-kanak (ACWC) ke atas draf Pelan Tindakan Serantau Bagi Penghapusan Kekejaman Terhadap Kanak-kanak serta amat mengalu-alukan persetujuan bagi draf Pelan Tindakan Serantau itu dan juga wanita oleh pemimpin-pemimpin ASEAN.

Perkara itu dinyatakan oleh Datin Paduka Hajah Adina semasa menghadiri Mesyuarat Majlis Komuniti Sosio-Kebudayaan ASEAN (ASCC) ke-14 yang berlangsung di Kuala Lumpur, Malaysia pada 7 hingga 8 Oktober, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, di sini, hari ini.

Kenyataan itu menyatakan lagi bahawa Datin Paduka Hajah Adina mengambil maklum mengenai satu bidang di mana ASEAN menunjukkan satu kejayaan yang signifikan iaitu dalam pemeliharaan integriti institusi kekeluargaan di mana ia merupakan satu nilai positif tradisi yang perlu dikukuhkan dan dipastikan terus wujud.

Beliau juga menyeru supaya ASEAN mengongsikan amalan terbaiknya dengan dunia dan pada masa yang sama, harus meningkatkan lagi usaha dan menekankan agenda pasca 2015 iaitu ke arah satu Komuniti ASEAN.

Datin Paduka Hajah Adina bersama Menteri-menteri ASEAN yang lain.
Datin Paduka Hajah Adina bersama Menteri-menteri ASEAN yang lain.

Datin Paduka Hajah Adina turut menyatakan rasa bimbang terhadap kurangnya kesedaran mengenai ASEAN dalam kalangan penduduk rantau ini, menekankan pentingnya bagi semua pihak memainkan peranan masing-masing dengan merangka kegiatan yang boleh mempromosikan kesedaran ASEAN seperti melalui pelbagai inisiatif pertukaran yang khusus menumpukan kepada golongan belia.

Datin Paduka Hajah Adina juga menekankan pentingnya bagi interaksi penduduk dengan penduduk yang lebih erat untuk membantu menjana sebuah ASEAN yang lebih berpusatkan kepada penduduknya menerusi perkongsian ilmu pengetahuan dan menubuhkan rangkaian yang lebih konkrit serta memastikan bahawa ASEAN akan terus menjadi sebahagian daripada kehidupan seharian penduduk ASEAN.

Beliau berkata, matlamat utama penubuhan sebuah komuniti ASEAN hanya boleh dicapai apabila penduduk di peringkat akar umbi dapat merasakan impak atau kesan positif kerjasama ASEAN itu.

Mesyuarat Majlis ASCC ke-14 itu dirasmikan oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Malaysia, Yang Berhormat Puan Hajah Nancy binti Haji Shukri pada 7 Oktober di mana mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, Yang Berhormat Datuk Mas Ermieyati binti Shamsudin dan dihadiri oleh Menteri-menteri dan wakil-wakil ASCC dari negara anggota ASEAN serta Setiausaha Agung Sekretariat ASEAN.

Mesyuarat Majlis ASCC ke-14 itu merupakan mesyuarat Majlis ASCC terakhir di mana ASEAN kini sedang mendekati mercu tanda yang signifikan dalam merealisasikan Komuniti ASEAN pada penghujung 2015.

Para menteri menyatakan perasaan gembira dengan pencapaian ASCC dalam melaksanakan kesemua garisan tindakan yang ditetapkan dalam Pelan Tindakan ASCC 2009-2015.

Menteri-menteri ASCC juga berpuas hati dengan kerja yang dilaksanakan oleh Kumpulan Kerja Peringkat Tinggi-ASCC dengan sokongan dari Sekretariat ASEAN dalam pembangunan dan penetapan Pelan Tindakan ASCC yang baru bagi tempoh 10 tahun yang akan datang menerusi proses perbincangan serantau dan kebangsaan dengan badan-badan sektor ASEAN.

Pelan tindakan itu bermatlamat untuk menjana sebuah Komuniti ASEAN yang akan lebih melibatkan dan memanfaatkan penduduk ASEAN serta lebih menyeluruh, mapan, berdaya tahan dan dinamik.

Pelan tindakan itu akan dihadapkan untuk pertimbangan dan persetujuan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 pada November nanti.

Kenyataan menjelaskan lagi bahawa Menteri-menteri ASCC semasa mesyuarat berkenaan mengenal pasti sumbangan yang berharga yang ditunjukkan oleh badan-badan sektoral ASEAN di mana dokumen-dokumen pencapaian yang penting telah dihasilkan untuk menetapkan hala tuju selepas 2015 dalam bidang-bidang utama termasuk pendidikan tinggi, perkhidmatan awam, perubahan iklim dan alam sekitar mapan, penuaan, perlindungan sosial, respons bencana serta penghapusan kekejaman terhadap kanak-kanak dan wanita.

ARTIKEL YANG SAMA