Brunei komited pulihara alam sekitar global

Brunei komited pulihara alam sekitar global

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Acara Peringkat Tinggi mengenai Permulaan Pelaksanaan Perjanjian Paris berlangsung di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York, Amerika Syarikat, hari ini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon dan dihadiri oleh ketua-ketua negara dan kerajaan, menteri-menteri dan delegasi ahli Konvensyen Rangka Kerja PBB mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).

Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, pada acara itu, 31 buah negara termasuk Brunei Darussalam telah menyerahkan dokumen pengesahan Perjanjian Paris.

Acara berkenaan menyusuli Majlis Penandatangan Peringkat Tinggi bagi Perjanjian Paris yang berlangsung pada 22 April 2016 juga di Ibu Pejabat PBB.

Perjanjian berkenaan diterima pakai pada Persidangan Ahli-ahli UNFCCC ke-21 di Paris supaya negara-negara ahli berusaha untuk mengehadkan kenaikan suhu global kepada di bawah 2 darjah Celsius, dan berusaha mengekalkan suhu 1.5 darjah Celsius.

Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin menyerahkan dokumen pengesahan terhadap Perjanjian Paris kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon di Ibu Pejabat PBB di New York.
Yang Berhormat Pehin Haji Mohammad Yasmin menyerahkan dokumen pengesahan terhadap Perjanjian Paris kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon di Ibu Pejabat PBB di New York.

Menurut kenyataan itu lagi, perjanjian berkenaan akan dikuatkuasakan 30 hari selepas sekurang-kurangnya 55 buah negara, merangkumi sekurang-kurangnya 55 peratus pengeluaran gas rumah hijau global, meratifikasikan Perjanjian Paris.

Setakat ini, 60 daripada 197 buah negara, merangkumi 47.62 peratus pengeluaran gas rumah hijau global, telah meratifikasikan perjanjian tersebut dan Brunei Darussalam adalah antara negara pertama yang melakukannya dalam kalangan negara-negara ASEAN bagi memastikan bahawa ia dikuatkuasakan secepat mungkin.

Menyerahkan dokumen pengesahan bagi pihak kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di acara tersebut ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar.

Menurut kenyataan itu lagi, Jabatan Tenaga dan Perindustrian sebagai titik fokus bagi perubahan iklim kebangsaan, di bawah Perjanjian Paris, akan terus melibatkan pihak-pihak berkepentingan dalam menetapkan sasaran realistik yang mengambil kira senario industri masa depan negara, termasuk sasaran pengurangan intensiti pengeluaran kebangsaan.

Ini merupakan sebahagian daripada persediaan bagi dokumen Nationally Determined Contributions yang akan menjadi dokumen yang diikat undang-undang di bawah Perjanjian Paris, sebaik sahaja ia dikuatkuasakan.

Sumbangan Brunei Darussalam kepada pengeluaran gas rumah hijau global akan tetap kecil, bagaimanapun, Brunei merupakan negara pantai yang kecil, yang terdedah kepada kesan perubahan iklim dan negara dengan tegas komited, sebagai sebahagian daripada dan anggota bertanggungjawab komuniti antarabangsa, untuk memelihara alam sekitar global dan terus menjadi simbol bagi kecemerlangan alam sekitar bagi rantau Asia Tenggara.

Jabatan Tenaga dan Perindustrian juga menyatakan bahawa bagi Brunei Darussalam mematuhi komitmen di bawah Perjanjian Paris, ia akan memerlukan kerjasama dan kerja keras daripada semua pihak berkepentingan.

Apa yang mungkin kelihatan mustahil, komuniti antarabangsa telah menjadikannya mampu dicapai untuk bersama-sama menyetujui Perjanjian Paris.

Oleh itu, memacu komitmen Brunei Darussalam kepada Perjanjian Paris tidak mustahil dengan keazaman dan komitmen daripada kerajaan, sektor swasta dan masyarakat secara keseluruhannya.

Ini terutamanya akan dapat dicapai menerusi usaha-usaha kecekapan tenaga, meningkatkan penggunaan teknologi-teknologi tenaga boleh diperbaharui, dan meningkatkan simpanan hutan sehingga 55 peratus daripada keseluruhan kawasan Brunei.

Menurut kenyataan itu lagi, komitmen Brunei Darussalam untuk menangani perubahan iklim, diharap mendorong dan membukakan lebih banyak peluang-peluang ekonomi dan keusahawanan bagi sektor swasta dalam membangunkan teknologi hijau dan seterusnya ‘ekonomi hijau’ di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA