Brunei komited

Brunei komited

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Sept – Kesejahteraan sosial pada amnya bertujuan menjaga kebajikan mereka yang memerlukan berlandaskan lima teras iaitu perlindungan, pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian.

Kanak-kanak, orang kurang upaya, warga tua, keluarga bermasalah, orang susah dan mangsa bencana merupakan golongan sasaran untuk diciptakan suasana atau keadaan yang memungkinkan mereka dapat menikmati hak-hak mereka sebagai rakyat dan mencapai kesejahteraan semaksimum mungkin.

Berikutan itu, di Negara Brunei Darussalam, komponen utama kesejahteraan sosial adalah tersedia bagi keperluan semua warga. Dalam masa yang sama, kerajaan membangun masyarakat ke arah kesejahteraan menerusi strategi mengubah sikap dan peningkatan keupayaan.

Perkara ini dijelaskan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof ketika berucap semasa menghadiri Mesyuarat ke-9 Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab terhadap kemajuan kesejahteraan sosial dan mesyuarat berkaitan yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, kelmarin dan hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Republik Indonesia, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Awang Haji Yussof bin Haji Abdul Rahman,

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi (empat dari kanan) bergambar ramai bersama menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab terhadap kemajuan kesejahteraan sosial.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi (empat dari kanan) bergambar ramai bersama menteri-menteri ASEAN yang bertanggungjawab terhadap kemajuan kesejahteraan sosial.

Yang Berhormat Pehin berkata, kerajaan mempelopori usaha-usaha melindungi dan mempromosi kesejahteraan sosial untuk mempertahankan fungsi sosial.

Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dalam satu kenyataan berkata, dalam atur cara ‘Retreat’, menteri-menteri berbincang mengenai isu-isu yang paling mendesak dalam bidang ini dan bagaimana kepimpinan boleh memberi jalan keluar.

Mesyuarat yang bertemakan ‘Strengthening Social Welfare Development in Pursuing ASEAN Community Vision 2025’ melihat menteri-menteri meluluskan Pelan Tindakan 2016-2020 untuk kemajuan pesat bidang yang menyasarkan tahap kehidupan memuaskan bagi Komuniti ASEAN untuk hidup makmur di rantau yang aman.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Menteri Hal Ehwal Sosial, Republik Indonesia, Khofifah Indar Parawansa.

Sementara itu, dalam Mesyuarat ASEAN+3 bidang yang sama, Yang Berhormat Pehin mengucapkan terima kasih kepada Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea yang tidak putus-putus mengadakan projek dan program kerjasama yang telah banyak memberikan manfaat dan pengalaman kepada ASEAN.

Menurut Yang Berhormat Pehin, pengalaman Republik Rakyat China, Jepun dan Republik Korea merencanakan penyediaan perumahan, kemudahan kesihatan dengan biaya yang terjangkau oleh daya beli masyarakat, akses kepada pendidikan dan jaminan hari tua sehingga mereka tidak takut menghadapi masa tuanya pada saat tidak berdaya mencari nafkah boleh dipelajari dan disesuaikan dengan sistem negara masing-masing.

“Walaupun bagi sesetengah negara ASEAN yang melihat kemajuan kesejahteraan sosial mereka masih jauh daripada harapan tetapi keinginan dan kesungguhan ASEAN untuk memberikan kondisi rakyatnya dalam keadaan makmur dan dalam keadaan sihat dan damai mencetus semangat ke arah memenuhi keperluan material, spiritual dan sosial rakyat agar dapat hidup, layak dan mampu mengembangkan diri, sehingga dapat melaksanakan fungsi sosialnya.

“Negara Brunei Darussalam komited untuk bekerjasama dalam ASEAN ke arah tujuan yang murni ini,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA