Brunei, Korea meterai kajian infrastruktur sanitasi

Brunei, Korea meterai kajian infrastruktur sanitasi

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar oleh Sim Y. H

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Pembangunan dan sebuah firma dari Korea, SK Engineering and Construction Co Ltd, hari ini, telah menandatangani Perjanjian Kerjasama bagi Projek Kajian Pembangunan Infrastruktur bagi Kemudahan Sanitasi di negara ini.

Perjanjian tersebut ditandatangani antara Pemangku Ketua Pengarah di Jabatan Kerja Raya, Awang Chua Pheng Keong dan Ketua Pegawai Eksekutif SK Engineering and Construction, Choi Kwang Chul.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara kedua-dua belah pihak telah disaksikan oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman dan turut dihadiri oleh Naib Menteri Persekitaran Korea, Jeong Yeon-man.

Selain menggalakkan lagi hubungan persahabatan yang lebih erat antara kedua-dua negara, perjanjian kerjasama itu juga adalah untuk membangunkan dan mempertingkatkan kemudahan sanitasi di Brunei Darussalam dengan menjalankan kajian pembangunan sanitasi di tapak tanah Lambak Kanan dan di kawasan berpangkalan di Kampong Ayer.

Perjanjian Kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Korea bagi Projek Kajian Pembangunan Infrastruktur bagi Kemudahan Sanitasi, kelmarin.
Perjanjian Kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Korea bagi Projek Kajian Pembangunan Infrastruktur bagi Kemudahan Sanitasi, kelmarin.

Kajian tersebut akan membawa kepada pembangunan konsep cadangan kepada pembangunan, pembiayaan, pembinaan, operasi, penyelenggaraan dan pengurusan kemudahan pembetungan menggunakan pendekatan kerjasama awam-swasta (Public-Private-Partnership) untuk dipertimbangkan oleh pihak kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Pembangunan dalam kenyataannya berkata, kerjasama ini akan turut memberi banyak manfaat dari segi perkongsian maklumat dan bahan-bahan dalam bidang kebersihan dan pembetungan semasa pelaksanaan kajian itu, yang boleh menyokong hasrat kedua-dua negara dalam mencapai matlamat pembangunan mampan bagi perlindungan dan peningkatan taraf alam sekitar serta kesihatan dan kesejahteraan generasi masa kini dan akan datang.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan, Haji Muhammad Lutfi bin Abdullah dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap, Awang Shahrom bin Haji Suhaimi serta pegawai-pegawai kanan di Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya.

Sebelum majlis penandatanganan bermula, Yang Berhormat Pehin Menteri Pembangunan juga menerima kunjungan muhibah daripada Naib Menteri Persekitaran Korea, Jeong Yeon-man.

ARTIKEL YANG SAMA