Brunei, Laos perkukuh hubungan diplomatik

Brunei, Laos perkukuh hubungan diplomatik

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Dis – Hubungan persahabatan dan kerjasama dua hala antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Demokratik Rakyat Laos terus diperkukuhkan sejak penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara pada Julai 1993.

Hubungan itu dipertingkatkan lagi pada 1997 apabila Brunei dan Laos membuka kedutaan masing-masing di ibu negara kedua-dua negara di mana sejak itu, Laos amat mengagumi evolusi pembangunan yang dinikmati oleh Negara Brunei Darussalam sejak kemerdekaannya 31 tahun yang lalu.

Perkara itu dinyatakan oleh Duta Republik Demokratik Rakyat Laos ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Amphay Kindavong dalam ucapannya pada Majlis Ulang Tahun Pengisytiharan Republik Demokratik Rakyat Laos ke-40 yang berlangsung di Royal Berkshire Hall, Royal Brunei Polo and Riding Club, Jerudong, hari ini.

Hadir bagi mewakili kerajaan Brunei Darussalam pada majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof dan isteri.

Turut hadir ialah duta-duta, pesuruhjaya tinggi, para perwakilan negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para jemputan khas.

Acara memotong kek yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan TYT Amphay Kindavong serta isteri masing-masing bersama-sama duta, pesuruhjaya tinggi dan perwakilan dari negara-negara anggota ASEAN.
Acara memotong kek yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan TYT Amphay Kindavong serta isteri masing-masing bersama-sama duta, pesuruhjaya tinggi dan perwakilan dari negara-negara anggota ASEAN.
TYT Amphay Kindavong turut menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.
TYT Amphay Kindavong turut menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi.

TYT Amphay Kindavong dalam ucapannya juga menyatakan bahawa Laos amat menghargai hubungan persahabatan dan kerjasama di antara Brunei dan Laos yang mana hubungan itu menyaksikan pertukaran lawatan di kesemua peringkat termasuk lawatan peringkat tertinggi seperti lawatan negara Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri ke Laos pada 1998 serta lawatan Presiden Choummaly Sayasone ke Brunei pada 2010.

Beliau menambah bahawa Laos juga amat menghargai peranan aktif dan sokongan Brunei kepada negara mereka dalam penyelarasan serta peranan di dalam ASEAN, ARF, ASEM dan PBB terutama sumbangan Brunei kepada Laos ketika menjadi hos kepada acara-acara utama antarabangsa seperti Sidang Kemuncak ASEAN ke-10, Sukan SEA ke-25 dan ASEM-9.

Majlis kemudian diteruskan dengan acara memotong kek yang disempurnakan bersama oleh Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan TYT Amphay Kindavong serta isteri masing-masing bersama-sama duta, pesuruhjaya tinggi dan perwakilan dari negara-negara anggota ASEAN.

Pada majlis berkenaan juga, TYT Amphay Kindavong dan isteri turut menyampaikan cenderahati kepada Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dan isteri.

ARTIKEL YANG SAMA