Brunei mampu anjur kejohanan bertaraf tinggi

Brunei mampu anjur kejohanan bertaraf tinggi

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Ogos – Negara Brunei Darussalam menerusi NFABD cukup bersedia untuk menganjurkan kejohanan-kejohanan AFC bertaraf tinggi di masa akan datang.

Perkara tersebut telah dinyatakan oleh Pengurus Festival AFC, Dr Shamil Kamil Mohamed semasa meniggalkan negara ini kelmarin di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei .

Kejayaan mengendalikan Festival Bolasepak Bawah 14 Tahun (B-14) Serantau AFC dua tahun berturut-turut pastinya menjadi pengalaman cukup berharga dan penting buat NFABD, katanya lanjut kepada Media Permata.

NFABD dengan 90 peratus daripada tenaga kerjanya masih sama seperti tahun lalu ternyata berjaya melakukannya dengan lebih baik lagi tahun ini, maka oleh sebab itulah beliau penuh percaya dan yakin NFABD mampu menganjurkan kejohanan peringat tertinggi dalam masa terdekat, tambahnya.

“NFABD berjaya memastikan kesemua 20 perlawanan dalam festival ini bermula tepat atau lebih awal daripada masa yang ditetapkan dan itu bukannya sesuatu yang mudah untuk dilakukan.”

Dr Shamil Kamil Mohamed (lima kiri) penuh percaya akan kemampuan NFABD menganjurkan kejohanan peringkat tertinggi di masa akan datang.
Dr Shamil Kamil Mohamed (lima kiri) penuh percaya akan kemampuan NFABD menganjurkan kejohanan peringkat tertinggi di masa akan datang.

Tambah beliau lagi NFABD berjaya memastikan peristiwa yang berlaku semasa final EURO 2016 iaitu keadaan di bangku simpanan yang tidak terkawal sehingga lebih daripada seorang yang berdiri dan memberikan arahan itu tidak berlaku di kesemua 20 perlawanan semasa festival lima hari (26-30 Julai 2016) tersebut di Bandar Seri Begawan.

Dr Shamil memuji dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan festival berkenaan termasuk warga kerja NFABD, sukarelawan, pihak media, sekuriti, staf kedua-dua venue perlawanan, staf hotel, perubatan dan lain-lain.

Menyentuh mengenai Pasukan Tabuan B-14, beliau menyatakan pasukan tahun ini lebih baik berbanding tahun lalu walaupun masih ada jurang ketara dengan pasukan-pasukan lain seperti Thailand, Myanmar, Vietnam dan Laos.

Namun beliau penuh percaya dengan perancangan dan latihan teratur yang berterusan selain masa permainan yang lebih banyak di peringkat tertinggi, Brunei Darussalam nantinya akan berjaya mengurangkan jurang berkenaan dan menyaingi pasukan-pasukan terbabit.

Hadir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengucapkan selamat berlepas kepada Dr Shamil ialah Pengarah Teknikal NFABD, Mike Wong, Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Dayem bin Haji Ali, ExCo, pegawai dan kakitangan NFABD.

ARTIKEL YANG SAMA