Brunei mampu jadi pengeluar kerapu terbesar ASEAN

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Jabatan Perikanan & Mohd Sahrizal

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Jun – Dengan kemampuan Syarikat Nur Nabai Aquaculture Sdn Bhd menghasilkan 1,200 tan metrik ikan kerapu hibrid setahun dalam tempoh tiga tahun lagi dan jangkaan eksport bulanan sebanyak 100 tan metrik, Negara Brunei Darussalam berpotensi menjadi pengeluar ikan kerapu terbesar di ASEAN menjelang 2020.

Sehubungan dengan itu, syarikat berkenaan telah berjaya memulakan eksport tiga tan ikan kerapu hibrid hidup ke pasaran Hong Kong dalam satu majlis penghantaran ikan hibrid pertama yang disaksikan oleh Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong dan ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Pengiran Haji Mohamed bin Pengiran Haji Osman @ Othman selaku Ketua Kampung Masjid Lama, Pekan Muara, Sabun dan Pelumpong Zon 2 di Tanjong Pelumpong, Muara, kelmarin.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Dr. Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin dan para pegawai kanan KSSUP.

Sementara itu, rakan kongsi tempatan syarikat, Haji Abdul Rudi bin Haji Abdul Rahim berkata syarikat itu sangat bertuah kerana mempunyai rakan kongsi luar negara yang berpengalaman luas dalam aktiviti penternakan ikan kerapu dan juga mempunyai rangkaian pasaran eksport yang mantap di Hong Kong dan China.

“Syarikat Nur Nabai Aquaculture juga sangat berterima kasih atas sokongan dan kerjasama yang kuat dari pihak kerajaan terutama KSSUP,” tambahnya lagi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyimpan ikan kerapu ke dalam kapal untuk dieksport.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali menyimpan ikan kerapu ke dalam kapal untuk dieksport.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menghadiri majlis berkenaan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali diberikan penerangan mengenai operasi ternakan ikan dalam sangkar.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali diberikan penerangan mengenai operasi ternakan ikan dalam sangkar.

Secara keseluruhan, projek yang dilaksanakan syarikat itu dijangka meningkatkan pengeluaran ternakan ikan dalam sangkar sebanyak enam kali ganda menjelang tahun 2020 berbanding pengeluaran tahun 2015, di mana syarikat juga berharap akan dapat menjana sebanyak 100 peluang pekerjaan.

Syarikat Nur Nabai Aquaculture mula beroperasi pada 30 Ogos 2016 di tapak seluas enam hektar di Tanjong Pelumpong. Syarikat Nur Nabai adalah usahasama di antara pelabur tempatan Fisherod Enterprise dan syarikat dari Indonesia, PT Sumatera Budidaya Marine.

Di samping ternakan ikan dalam sangkar, syarikat usahasama berkenaan juga akan mulai menghasilkan anak-anak ikan kerapu hibrid melalui projek penetasan dan semaian di Kampung Sungai Paku, Daerah Tutong pada penghujung 2017.

Penubuhan pusat penetasan dan semaian ikan kerapu di negara ini, bukan sahaja akan dapat menjamin harga yang lebih kompetitif bagi penternak ikan di negara ini, malahan ia dapat memastikan bekalan anak ikan sentiasa mencukupi, berterusan dan berkualiti tinggi.

Syarikat Nur Nabai Aquaculture juga akan melaksanakan kerjasama dengan penternak ikan tempatan secara kontrak. Melalui inisiatif itu, syarikat berkenaan akan membekalkan anak-anak ikan kerapu hibrid untuk dibesarkan oleh penternak tempatan dengan Syarikat Nur Nabai akan membeli balik ikan-ikan yang telah mencapai saiz yang diperlukan untuk pasaran Hong Kong dan Republik Rakyat China.

Menurut pegawai kanan KSSUP, Syarikat Nur Nabai adalah salah sebuah daripada beberapa syarikat yang giat dalam aktiviti akuakultur dan amat komited dalam melipatgandakan keluarannya dengan mensasarkan pasaran eksport.

Walaupun baru beroperasi 10 bulan, syarikat itu telah berjaya memulakan eksport pertama selaras dengan aspirasi KSSUP dalam usaha membantu untuk mempelbagaikan kegiatan ekonomi dan merangsang pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Negara Brunei Darussalam.