Brunei mampu ...

Brunei mampu menjadi hab pengedaran

Oleh Azlan Othman

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Feb – Negara Brunei Darussalam boleh menjadi hab pengedaran di rantau ini memandangkan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Brunei telah memberikan masa 24 jam bagi pelepasan kontena dan barangan di Pelabuhan Muara dan terminal kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Perkara berkenaan ditekankan oleh Presiden Persatuan Brunei Freight Forwarders (BRUFA), Thomas Koh ketika ditemui di luar mesyuarat bersama delegasi Pertubuhan Pengangkutan Lori dan Logistik Thailand di Hotel Centrepoint, hari ini.

Thomas Koh berkata beberapa dialog telah dijalankan dengan beberapa agensi berkaitan dalam bidang yang dikenal pasti di mana industri logistik boleh membantu dan dibantu kedua-duanya oleh agensi-agensi berkaitan dan para pengimport.

“Inisiatif ini akan menetapkan satu tindak balas berantai di mana Freight Forwarders dan para pengimport bukan sahaja boleh merancang penghantaran dan menerima kontena serta barangan ketika waktu pejabat namun boleh juga dilakukan ketika di luar waktu pejabat.”

Thomas Koh menambah, “Dengan ini, saya boleh melihat sempadan-sempadan Brunei bukan sahaja satu akses mudah buat kontena 24 jam namun akan meningkatkan lagi kemudahan mendapatkan kontena dan barangan meskipun selepas waktu pejabat. Usaha ini akan dikenakan tambahan penggunaan aset yang menunjukkan usaha kerajaan Negara Brunei Darussalam untuk memudahkan perniagaan perdagangan di negara ini.”

Presiden BRUFA itu juga menyeru kepada ahli-ahli perniagaan kecil dan sederhana (PKS) untuk meningkatkan lagi kelengkapan dan kemudahan mereka untuk memenuhi era baru dalam industri logistik. “Logistik memainkan peranan penting dalam perniagaan-perniagaan dan dalam memudah cara FDI dan dalam mewujudkan pengilangan, pemprosesan dan juga nilai tambah produk-produk.

“Para pengimport sekarang juga perlu mengambil perhatian bahawa kontena dan barangan boleh diluluskan dan dihantar dalam masa 24 jam. Kita perlu memiliki lebih banyak perkhidmatan berkualiti, cekap dan kompetitif namun berpatutan.”

Juga hadir pada mesyuarat itu ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Arshad @Haji Sabli.

Delegasi Pertubuhan Pengangkutan Lori dan Logistik Thailand ke Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Darat Thailand, Kamol Burananpong.

Dalam dialog tersebut, Pengarah Institut Pengangkutan, Universiti Chulalongkorn, Dr. Chacktrit Duangphastra mengongsikan pandangan terhadap Kerjasama Ekonomi ASEAN (AEC) dan impaknya terhadap logistik pengangkutan barangan.

Dalam ucapan alu-aluan Thomas Koh menjelaskan memandangkan Thailand memiliki banyak sempadan dan melalui pengalaman bertahun-tahun dalam aktiviti logistik rentas sempadan, pihaknya berharap akan dapat berkongsi dan mempelajari sesama sendiri dalam amalan terbaik dalam industri itu.