Brunei masih bebas Difteria

Brunei masih bebas Difteria

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Julai – Orang ramai terutamanya ibu bapa dan penjaga kanak-kanak dinasihatkan agar terus menyokong usaha kerajaan untuk menjadikan negara ini bebas daripada penyakit difteria dengan memastikan anak damit mendapatkan suntikan yang telah disarankan dalam Program Imunisasi Kebangsaan.

Penguasa Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Justin Wong berkata, Kementerian Kesihatan akan terus memantau situasi yang sedang berlaku di negara jiran dan akan memaklumkan perkembangannya kepada orang ramai.

Bercakap dalam sidang akhbar di Pusat Kesihatan Pengiran Anak Puteri Hajah Muta-Wakkilah Hayatul Bolkiah, Kampung Rimba hari ini beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaporkan 24 kes difteria melibatkan lima kematian pada tahun ini.

Menurut beliau, penyakit difteria berpunca daripada kuman ‘corynebacterium diphtheriae’ yang merebak melalui penyebaran titisan seperti batuk atau bersin.

Tanda-tanda penyakit ini termasuk demam, batuk, selesema, sakit kerongkong, air liur meleleh terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Bakteria boleh melarat dan menyebabkan gejala yang lebih serius seperti susah bernafas, kegagalan jantung, lumpuh, jangkitan paru-paru dan boleh menyebabkan kematian.

Dr. Justin Wong ketika menerangkan mengenai perkembangan terkini penyakit Difteria.
Dr. Justin Wong ketika menerangkan mengenai perkembangan terkini penyakit Difteria.

Dr. Justin juga menyarankan orang ramai, terutama ibu bapa dan penjaga, kanak-kanak yang kurang daya tahan tubuh, dan mereka yang tiada antibodi kerana tidak mendapatkan imunisasi atau status imunisasi tidak lengkap berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan Difteria.

Hasil pemantauan berterusan Kementerian Kesihatan sejak lebih 20 tahun lalu hingga kini, tiada kes Difteria dilaporkan di negara ini kerana Program Imunisasi Difteria, Tetanus dan Pertusis (DTP) berjaya menepati sasaran dengan kadar peratusan imunisasi yang tinggi.

Program Imunisasi DTP di negara ini adalah sebahagian daripada Program Imunisasi Kebangsaan bagi kanak-kanak sejak lahir hingga lima tahun yang dilaksanakan di pusat-pusat kesihatan dan klinik ibu dan anak di seluruh negara.

Pada masa sekarang, suntikan vaksin DTP diberikan kepada kanak-kanak berumur dua bulan, empat bulan dan enam bulan dengan dos tambahan diberikan kepada kanak-kanak berumur lima tahun.

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar) di Kementerian Kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifle; Penguasa Perubatan Kesihatan Komuniti, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif; Konsultan Pediatrik, Dr. Haji Rohayati binti Haji Mohd Taib; Pegawai Perubatan Kanan, Dr. Yong Chee Tee dan Ahli Kimia Ubat Kanan, Dayang Rosmah binti Haji Mohamad Shah.

Untuk maklumat lanjut mengenai penyakit ini, orang ramai bolehlah menghubungi Talian Darussalam123.

ARTIKEL YANG SAMA