Brunei masih mencari kemenangan pertama

Brunei masih mencari kemenangan pertama

KUALA LUMPUR, 1 Jun (Bernama) – Laos mencatat kemenangan pertama dalam acara bola sepak Kumpulan B pada Sukan SEA 2015 selepas menundukkan Brunei 2-1 di Stadium Bishan di Singapura, malam tadi.

Laos yang dibelasah 6-0 oleh juara bertahan, Thailand pada aksi pembukaan, Jumaat lepas, memecahkan kebuntuan pada minit ke-11 melalui Khochalern Phoutthasay sebelum Brunei menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Azwan Ali Rahman pada minit ke-68.

Natphasouk Soukchinda menjadi wira Laos apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74, menurut laman sesawang Sukan SEA Singapura: www.seagames2015.com.

Malaysia yang mencipta kemenangan tipis 1-0 ke atas Timor Leste dalam aksi pembukaan Kumpulan B, semalam, akan menghadapi laluan mencabar menentang Vietnam di venue yang sama pada Selasa ini.

Vietnam mengaibkan Brunei 6-0 dalam perlawanan Kumpulan B, Jumaat lepas.

ARTIKEL YANG SAMA