Brunei menjadi hos Persidangan HSSE Pembinaan

Brunei menjadi hos Persidangan HSSE Pembinaan

Oleh Imelda Groves HA

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Negara Brunei Darussalam buat julung kalinya akan menghoskan Persidangan HSSE Pembinaan yang akan diadakan pada 23 dan 24 Ogos depan di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat, Jabatan Kerja Raya (JKR), di Lapangan Terbang Lama, Berakas.

Persidangan berkenaan dianjurkan bersama oleh CONFEX dengan kerjasama Kementerian Pembangunan, Jabatan Kerja Raya dan Pertubuhan Ukur, Jurutera dan Arkitek (PUJA).

Perkara ini telah dimaklumkan oleh Pengurus Operasi CONFEX, Dayangku Maznah binti Pengiran Badaruddin semasa sidang media yang berlangsung di Restoran RMS Portview, pagi tadi.

Sementara itu, Pengurus Besar CONFEX, Awang Hafriz bin Musa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata bahawa persidangan itu nanti akan mengumpulkan pihak-pihak berkepentingan dalam industri HSSE (Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar) di negara ini.

“Pada masa yang sama, kami juga membawakan penceramah berpengalaman dan profesional untuk bercakap tentang perubahan landskap mengenai HSSE bukan sahaja di Brunei malah di seluruh dunia. Ini adalah selaras dengan trend dan isu-isu semasa, serta mengikut standard kebangsaan dan antarabangsa,” katanya lagi.

Bertemakan ‘The Roadere to Goal Zero: The Future of Brunei’s HSE governance and performance’, acara ini menghimpunkan penceramah-penceramah HSSE profesional antarabangsa dan tempatan dalam bidang keselamatan.

Ia akan menyaksikan perbincangan dan perkongsian maklumat tentang bagaimana mencapai sifar kecederaan, sifar kematian dan sifar kejadian serius dengan menggunakan amalan-amalan terbaik HSSE antarabangsa di Brunei.

Di samping pembentangan pelbagai topik menarik, acara berkenaan turut akan diisi dengan Pameran HSSE Pembinaan yang bakal menjadi platform sesuai untuk mana-mana organisasi mempamerkan dan mendedahkan produk serta perkhidmatan mereka kepada orang-orang yang disasarkan yang mengutamakan keselamatan dan keselamatan tempat kerja.

Pameran itu juga akan dibuka untuk kunjungan orang ramai, para pegawai kerajaan dan syarikat swasta yang sedang mencari syarikat-syarikat terbaik untuk menyediakan produk dan perkhidmatan dalam HSSE.

Pendaftaran untuk menyertai persidangan berkenaan masih dibuka sehingga 15 Ogos 2016.

ARTIKEL YANG SAMA