Brunei meterai perjanjian ADTA

Brunei meterai perjanjian ADTA

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Julai – Negara Brunei Darussalam dan the Grand Duchy Luxembourg telah menandatangani Perjanjian Pengelakan Cukai Dua Kali dan Pencegahan Pelarian Fiskal berkenaan dengan Cukai-cukai ke atas Pendapatan dan ke atas Modal (Agreement for Avoidance of Double Taxation and the Prevention of Fiscal Evasion with respect to Taxes on Income an don Capital), pada 14 Julai di Brussels.

Menandatangani bagi pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Duta Besar Negara Brunei Darussalam ke Belgium, Dato Paduka Serbini bin Haji Ali manakala kerajaan the Grand Duchy Luxembourg diwakili oleh Menteri Kewangan Luxembourg, Pierre Gramegna.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan di sini hari ini, melalui perjanjian tersebut kedua-dua buah negara akan dapat meningkatkan lagi kerjasama ekonomi dan perdagangan terutama melalui sektor-sektor swasta, yang mana setentunya akan memperoleh manfaat dari cukai yang dikenakan di kedua-dua belah pihak.

Di samping itu juga, perjanjian tersebut akan memudahkan kerajaan Negara Brunei Darussalam dan kerajaan the Grand Duchy Luxembourg bertukar-tukar maklumat bagi isu-isu percukaian yang mana selaras dengan komitmen negara ini terhadap piawaian pertukaran maklumat percukaian yang dipersetujui oleh antarabangsa.

Kenyataan itu berkata, sehingga kini Negara Brunei Darussalam telah menandatangani 18 Perjanjian Pengelakan Cukai Dua Kali (ADTA) iaitu dengan United Kingdom, Republik Indonesia, Republik Rakyat China, Republik Singapura, Republik Sosialis Vietnam, Kesultanan Oman, Bahrain, Jepun, Republik Islam Pakistan, Malaysia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Hong Kong, Kuwait, Republik Tajiskistan, Qatar, Emeriah Arab Bersatu, Republik Korea dan the Grand Duchy Luxembourg.

ARTIKEL YANG SAMA