Brunei, M’sia mantap

Brunei, M’sia mantap

pg03_150812_a

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini, berkenan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak, bagi Rundingan Pemimpin-pemimpin Tahunan ke-19 di antara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Rundingan diadakan dalam suasana yang baik dan mesra, melambangkan hubungan rapat dan lama di antara kerajaan dan rakyat kedua-dua negara.

Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan itu, kedua-dua pemimpin mengalu-alukan pengukuhan berterusan hubungan dua hala sejak Rundingan Pemimpin-pemimpin Tahunan ke-18 pada 3 November 2014, dan mengesahkan semula komitmen mereka untuk mempertingkat lagi kerjasama dalam bidang kepentingan umum, demi faedah kedua-dua negara.

Mereka juga menyatakan rasa gembira terhadap perkembangan yang menggalakkan di bawah pelaksanaan Pertukaran Surat yang ditandatangani oleh pemimpin-pemimpin Brunei Darusalam dan Malaysia pada 16 Mac 2009 serta menekankan peranan penting Pertukaran Surat dalam memantapkan lagi hubungan mesra dan istimewa serta memajukan kerjasama strategik.

Kerjasama dalam petroleum, penternakan

Mereka turut melahirkan rasa puas hati dengan kemajuan berterusan yang dicatat oleh Petroleum Brunei dan PETRONAS. Perkongsian lama ini dapat dilihat dengan jelas menerusi kerjasama dalam Bidang Pengaturan Komersial (CAA), Perjanjian Perkongsian Pengeluaran (PSA) dan di negara lain seperti Kanada dan Myanmar. Kedua-dua pemimpin juga menggalakkan Petroleum Brunei dan PETRONAS supaya terus bekerjasama untuk mencari penyelesaian inovatif untuk memperdagangkan penemuan CAA baru-baru ini sebaik sahaja ada peluang. Usaha untuk merealisasikan sebuah pusat luar pesisir sedang diselaraskan oleh Jabatan Tenaga Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri (EDPMO).

Perkembangan besar dalam Kumpulan Kerja Bersama Penyatuan Brunei Darussalam-Malaysia mengenai aktiviti yang berkaitan dengan (i) Gumusut/Kakap (GK) dan Padang Geronggong/Jagus Timur (GRG/J) dan (ii) Kinabalu West NAG (KN) dan Padang Maharajalela Utara (MLJ)juga disentuh dan Perjanjian Muktamad dalam kedua-dua bidang pada akhir tahun ini dinanti-nantikan.

Baginda Sultan dan Perdana Menteri Malaysia juga menyatakan rasa puas hati dengan perkembangan yang dicatat oleh kumpulan teknikal bersama mengenai penentuan bersama dan tinjauan sempadan tanah di antara Brunei Darussalam dan Malaysia, mendapati kemajuan telah dicatat dalam beberapa bidang utama. Pihak berkenaan yang menjalankan tinjauan bersama dan aktiviti penentuan digesa untuk melakukannya dengan cepat dan cekap, terutamanya dalam bidang yang penting kepada rakyat kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga menggesa pegawai dua negara ini supaya mempertingkat lagi perbincangan mereka dengan tujuan menubuhkan memorandum persefahaman atau rangka kerja lain yang sesuai, untuk membolehkan pelaksanaan awal peruntukan Pertukaran Surat berhubung dengan hak menggunakan laut serta mempergiatkan usaha untuk membolehkan perbincangan berakhir awal.

Mereka mengesahkan semula komitmen terhadap kerjasama maritim dan meminta pegawai kedua-dua negara supaya meneruskan perbincangan mengenai pertambahan kerjasama dalam bidang ini dengan tujuan mencapai satu memorandum persefahaman dalam kerjasama maritim.

Pemimpin-pemimpin turut mengenang kembali perbincangan berterusan mengenai perkara berkaitan kerjasama perikanan di antara Brunei Darussalam dan Malaysia, termasuk pengawasan penangkapan ikan tradisional. Kedua-dua pemimpin mendapati pegawai kedua-dua pihak kini sedang membincangkan mengenai isu ini dan mengalakkan mereka supaya mengakhiri perbincangan dengan cepat dengan tujuan mencapai memorandum persefahaman dalam kerjasama perikanan.

Pemimpin-pemimpin menyatakan rasa puas hati dengan perkembangan perbincangan mengenai kerjasama ekonomi di antara Brunei Darussalam dan Negeri Sabah dan Sarawak serta mengalu-alukan penglibatan berterusan mengenai Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) di Sabah, dan menggalak kedua-dua pihak supaya terus meninjau bidang kerjasama ekonomi berpotensi yang lain.

Pelancongan, pelaburan diberi perhatian

Mereka juga menyambut baik perkembangan yang dicatat dalam kerjasama telekomunikasi di antara SACOFA, Sarawak, dan DST Communications, Brunei Darussalam. Dalam hal ini, kedua-dua pemimpin berasa gembira dengan pemeteraian Perjanjian Dua Hala untuk Tukaran Optik Gentian Bersama dan Gran IRU pada 11 Ogos 2015.

Kedua-dua pemimpin menyetujui penubuhan Kumpulan Kerja Pelancongan Brunei-Sarawak untuk bekerjasama dalam bidang kesalinghubungan, pemasaran dan promosi serta keselamatan.

Baginda Sultan dan Perdana Menteri Najib Tun Razak juga menyambut baik kerjasama pertanian dua hala di antara Brunei Darussalam dan Sarawak dalam bidang pengeluaran beras, haiwan ternakan dan akuakultur. Kedua-dua pemimpin mengambil perhatian mengenai hasrat Brunei Darussalam dan Sarawak untuk mencapai satu perjanjian untuk bekerjasama dalam bidang minyak kelapa sawit pada masa depan.

Mereka berasa gembira mencatat aliran pelaburan dan perdagangan dua hala yang positif di antara kedua-dua negara. Kerjasama selanjutnya di antara sektor swasta amat digalakkan oleh pemimpin untuk merangsang kerjasama perdagangan dan pelaburan yang lebih mantap, secara dua hala serta serantau menerusi BIMP-EAGA, ke arah realisasi Komuniti Ekonomi ASEAN.

Kedua-dua pemimpin menekankan lagi kepentingan kerjasama berterusan di antara kedua-dua negara untuk melancarkan kemajuan industri perkhidmatan kewangan mereka dan penyeliaan pertubuhan antara sempadan, termasuk pelaburan dalam infrastruktur kewangan Islam kedua-dua negara dalam mengembangkan lagi industri tersebut bersama.

Pemimpin juga menggalak pertukaran berterusan maklumat dan kepakaran di antara Bank Negara Malaysia dan Autoriti Monetari Brunei Darussalam dengan mengambil kira Memorandum Persefahaman yang ditandatangani di antara kedua-dua institusi.

Pemimpin melahirkan kepuasan mengenai perkembangan yang dicatat dalam pembangunan kerjasama dua hala dalam pertahanan, menerusi pertukaran lawatan yang tetap, kursus latihan dan latihan tentera di antara Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan Angkatan Bersenjata Malaysia (ATM), yang telah menyumbang ke arah pemupukan persahabatan dan pemahaman di antara kedua-dua pihak.

Mantapkan pertahanan, pendidikan

Kedua-dua pemimpin mengesahkan semula kepentingan kerjasama pertahanan di antara kedua-dua negara, dan memuji kakitangan ABDB dan ATM yang buat masa sekarang berkhidmat dalam Pasukan Sementara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dan Pasukan Pengawasan Antarabangsa (IMT) di Mindanao, Filipina, atas dedikasi mereka untuk mengekal keamanan dan kestabilan di rantau masing-masing.

Baginda Sultan menyatakan penghargaan terhadap penyertaan Malaysia dalam Kemahiran Menembak Antarabangsa Brunei pada Pertemuan Senjata (BISAM) yang diadakan pada 20-31 Januari 2015 di Bandar Seri Begawan. Perdana Menteri Malaysia juga menyatakan penghargaan terhadap penyertaan Brunei Darussalam dalam Ruang Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi ke-13 (LIMA) pada 17-21 Mac 2015 di Langkawi, Malaysia.

Kedua-dua pemimpin menyatakan rasa puas hati dengan inisiatif berterusan yang dilaksanakan untuk mempertingkatkan lagi kerjasama rapat dalam pendidikan, termasuk institusi pembelajaran lebih tinggi dalam bidang penyelidikan, pertukaran pelajar dan fakulti, seminar, ceramah awam dan dalam penerbitan bahan akademik. Sehubungan itu, mereka mengalu-alukan pemeteraian MoU di antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali Brunei Darussalam (UNISSA) dan Universiti Islam Malaysia (UIM) pada 27 Mei 2015 dan Persidangan Bersama mengenai “Perkongsian Pengetahuan Islam” oleh UNISSA dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mereka juga mengambil perhatian mengenai kemajuan yang dicatat ketika Mesyuarat Menteri Kesihatan Dua Hala ke-7 di antara Brunei Darussalam dan Malaysia pada 1-2 Disember 2014 di Bandar Seri Begawan, dan mengalu-alukan penubuhan bidang kerjasama baru yang menumpu pada penguatkuasaan kesihatan, mengiktiraf kepentingan rangka kerja peraturan kesihatan yang efektif dan mapan untuk perlindungan kesihatan orang awam.

Baginda Sultan juga mengalu-alukan kerjasama dengan Malaysia dalam mempelopori bidang kesihatan sebagai menyokong wawasan Komuniti ASEAN, terutamanya ketika penganjuran Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN (AHMM) ke-13 oleh Brunei Darussalam, Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN+3 ke-7 (7th APTHMM) dan Mesyuarat Menteri Kesihatan ASEAN-China ke-6 (ACHMM) pada 2016.

Mereka gembira dengan perbincangan berterusan mengenai pergerakan banduan dari kawasan di antara Sabah dan Sarawak menerusi Brunei Darussalam dan pergerakan banduan di Brunei Darussalam menerusi Sarawak. Mereka terus menggalak agensi relevan supaya memperkukuh kerjasama dalam bidang ini, terutamanya berusaha untuk memuktamadkan satu prosedur operasi standard (SOP) yang dipersetujui.

Peningkatan hubungan kebudayaan di antara kedua-dua negara sejak setahun lalu turut diberi perhatian kedua-dua pemimpin. Baginda Sultan mengambil perhatian terhadap minat Malaysia untuk meninjau kerjasama dalam bidang keluarga, wanita dan kanak-kanak, dan menggalakkan kedua-dua pihak supaya menimbang kemungkinan mengadakan penempatan pegawai dan kakitangan dua hala, serta pertukaran kepakaran di antara kementerian yang terbabit.

Manakala Perdana Menteri Malaysia mengalu-alukan penyertaan atlet Brunei Darussalam pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak, Malaysia pada 2016, dan menyatakan harapan agar kontinjen Brunei Darussalam menyertai sukan itu secara berterusan pada masa depan.

Baginda Sultan juga menyambut baik sokongan dan penyertaan Malaysia dalam Sukan Sekolah ASEAN 2015 ke-7 yang akan berlangsung pada 21-29 November 2015 di Bandar Seri Begawan untuk kali pertamanya, bertujuan mempertingkat persahabatan dalam kalangan pelajar di rantau, mempromosi perpaduan belia ASEAN menerusi sukan sekolah serta menyediakan peluang untuk atlet sekolah berinteraksi dan membabitkan diri dalam pertukaran kebudayaan di ASEAN.

Kedua-dua pemimpin menyatakan rasa gembira dengan ketibaan pelancong yang memberangsangkan di antara kedua-dua negara. Baginda Sultan berasa gembira Malaysia adalah sumber pelancong terbesar untuk Brunei Darussalam, dan berasa puas hati dengan pertambahan jumlah pelawat dari Malaysia.

Mereka menggesa pegawai kedua-dua buah negara supaya terus bekerjasama untuk memperkukuhkan lagi kerjasama pelancongan di antara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Baginda Sultan dan kerajaan serta rakyat Brunei Darussalam menyampaikan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas oleh gempa bumi di Ranau, Sabah, pada 5 Jun 2015. Baginda Sultan juga menyampaikan rasa simpati kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal dan kerosakan harta yang dialami akibat banjir dan runtuhan tanah di Sabah.

Perdana Menteri Malaysia pula mengucapkan terima kasih atas sumbangan yang dibuat oleh kerajaan Baginda Sultan serta rakyat Brunei Darussalam menerusi “Dana Kemanusiaan untuk Mangsa Banjir di Malaysia” terhadap usaha bantuan banjir di Malaysia pada Disember 2014, dan atas bantuan yang dihulurkan oleh anggota pertubuhan bukan kerajaan Negara Brunei Darussalam, Anggota Sukarelawan Belia Negara (SBK) dan Cabaran, Pengembaraan, Rekreasi dan Mendidik (CARE) pada Januari 2015.

Perdana Menteri Malaysia merakamkan penghargaan terhadap sokongan padu Brunei Darussalam sepanjang penganjuran ASEAN oleh Malaysia dan dalam masa yang sama, Baginda Sultan memuji kepimpinan Malaysia terutamanya, lapan dasar utama yang digariskasarkan oleh Malaysia untuk menubuhkan Komuniti ASEAN secara formal, termasuk tumpuan dalam merealisasikan ASEAN yang “menumpu pada rakyat”. Baginda Sultan juga tidak sabar untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN akan datang yang dijangka diadakan di Kuala Lumpur pada 20-22 November 2015.

Kedua-dua pemimpin menyatakan rasa puas hati mereka dengan keputusan mesyuarat ini dan mengalu-alukan pelaksanaan keputusan yang dicapai bersama untuk hubungan dua hala dan kerjasama yang lebih kukuh di antara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Baginda Sultan juga menyampaikan salam mesra kepada semua warga Malaysia pada sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini, dan juga mengucapkan tahniah kepada Malaysia bersempena Hari Kebangsaan ke-58 pada 31 Ogos 2015. Perdana Menteri Malaysia juga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua warga Brunei bersempena sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Kedua-duanya bersetuju untuk mengadakan Rundingan Pemimpin Tahunan ke-20 di Malaysia pada 2016.

ARTIKEL YANG SAMA