Brunei-M’sia tingkat hubungan ekonomi

Brunei-M’sia tingkat hubungan ekonomi

PUTRAJAYA, 4 Okt – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha pagi tadi berkenan berangkat menghadiri Rundingan Tahunan ke-20 di antara Ketua-Ketua Kerajaan Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Semasa Rundingan Tahunan itu, Baginda Sultan berkenan mengadakan perjumpaan empat mata bersama Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak di Bangunan Perdana Putra dan seterusnya bagi menyaksikan Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman di dalam bidang Teknologi Hijau di antara Negara Brunei Darussalam dan Malaysia.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas Rundingan Tahunan itu, kedua-dua buah negara menekankan komitmen bersama untuk meningkatkan kerjasama ekonomi terutamanya di Sabah dan Sarawak.

Kenyataan itu berkata, aliran perdagangan dan pelaburan dua hala antara kedua-dua negara terus kukuh, dan kedua-dua pemimpin mengakui masih terdapat potensi ekonomi yang belum diterokai.

“Oleh itu, kedua-dua pemimpin mencadangkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kedua-dua negara bekerjasama meneroka peluang perniagaan, dan gembira untuk menyatakan forum perniagaan yang menumpukan kepada PKS dari Brunei dan Malaysia akan diadakan di Brunei pada separuh pertama 2017,” kata kenyataan bersama itu lagi.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung bagi sesi bergambar bersama Perdana Menteri Malaysia dan isteri di Bangunan Perdana Putra, kelmarin. – Gambar Infofoto.
Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri dijunjung bagi sesi bergambar bersama Perdana Menteri Malaysia dan isteri di Bangunan Perdana Putra, kelmarin. – Gambar Infofoto.

Forum perniagaan itu akan menjadi platform yang baik kepada PKS meliputi pelbagai sektor kepada rangkaian, bertukar-tukar pengalaman dan membincangkan prospek perniagaan untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dan pelaburan antara kedua dua negara.

Kedua-dua pemimpin juga berpuas hati dengan hasil pertemuan mereka dan berharap pelaksanaan daripada keputusan yang dicapai akan terus meningkatkan hubungan dua hala dan kerjasama antara Brunei dan Malaysia.

Menurut kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin turut menggesa para pegawai kedua-dua negara menggiatkan perbincangan mereka dengan pandangan untuk mewujudkan MoU atau rangka kerja lain yang bersesuaian membolehkan pengoperasian awal daripada peruntukan pertukaran dokumen berkaitan akses maritim.

“Dalam hal ini, kedua-dua pemimpin menggesa usaha diperkukuhkan bagi membolehkan perbincangan dimuktamadkan lebih awal,” kata kenyataan itu lagi.

Para pemimpin turut mengharapkan kerjasama dua hala dalam bidang pertanian antara Brunei dan Sarawak dalam pengeluaran beras, ternakan dan akuakultur.

“Mereka mengambil perhatian hasrat Brunei dan Sarawak untuk bekerjasama dalam bidang minyak sawit mentah pada masa akan datang,” menurut kenyataan bersama itu.

Kedua-dua pemimpin juga gembira dengan kemajuan berterusan yang dicapai oleh Petronas dan PetroleumBRUNEI dalam Kerjasama Komersial Kawasan (CAA) di Blok CA1 dan CA2, Perjanjian Perkongsian Pengeluaran di Blok-blok N dan Q serta dalam kerjasama mereka di Kanada dan Myanmar.

Kedua-dua pemimpin turut menggalakkan Petronas dan PetroleumBRUNEI serta Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri untuk meningkatkan kerjasama ke arah merealisasikan hab luar pesisir untuk menyokong pembangunan sumber hidrokarbon daripada Blok CA2 dalam memastikan pengeluaran gas yang mapan bagi Brunei.

“Para pemimpin komited bagi Petronas dan PetroleumBRUNEI mengkomersialkan hasil penemuan baru baru ini di Blok CA2 sebagai peluang komersial paling berdaya maju, dalam usaha memaksimumkan pulangan ke atas pelaburan kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Pemimpin-pemimpin juga turut menyambut baik hasrat Petronas dan Sekretariat Unitisasi Nasional Brunei untuk melantik pakar luar bebas bagi menyelesaikan ketidaktentuan berkaitan teknikal terhadap cadangan unitasi untuk medan minyak Kinabalu West NAG dan Maharajalela N orth.

“Jangkaan resolusi itu akan mengambil kira hasrat persetujuan yang adil, saksama dan telus untuk memuktamadkan persetujuan unitasi bagi medan minyak Kinabalu West dan Gumusut/Kakap serta Geronggong/Jagus East pada suku pertama 2017,” menurut kenyataan bersama itu.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Datuk Seri Mohd Najib juga menyatakan rasa puas hati atas kemajuan dan hasil kerja cemerlang pasukan teknikal bersama mengenai persempadanan bersama dan survei sempadan darat antara Brunei dan Malaysia.

Kedua-dua pemimpin menggesa komitmen berterusan daripada pasukan teknikal bersama itu dalam mempercepatkan usaha untuk menyelesaikan persempadanan bersama dan survei sempadan darat antara Brunei dan Malaysia, khususnya dalam bidang-bidang keutamaan.

Kedua-dua pemimpin juga menyentuh mengenai perbincangan yang sedang berjalan berhubung perkara-perkara berkaitan dengan kerjasama perikanan antara Brunei dan Malaysia, termasuk kawasan penangkapan ikan tradisional.

ARTIKEL YANG SAMA