Brunei-Muara juara keseluruhan kejohanan wushu

Brunei-Muara juara keseluruhan kejohanan wushu

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 20 Dis – Daerah Brunei dan Muara menguasai Kejohanan Wushu Brunei kali ke–2 dengan sembilan atlet mengutip 14 pingat emas dalam pertandingan dua hari yang diadakan di Kompleks Sukan Mumong, Kuala Belait yang disertai seramai tujuh pasukan bermula kelmarin.

Dalam kejohanan tersebut Pasukan Kuching berada di tempat kedua dengan meraih sebanyak enam emas, lima perak dan dua gangsa, diikuti Pasukan Sibu yang meraih empat emas, enam perak dan sembilan gangsa.

Manakala, Pasukan Temburong pula menduduki tempat keempat dengan tiga emas, dua perak dan satu gangsa, diikuti Pasukan Tutong di tempat kelima dengan dua emas, dua perak dan satu gangsa; Pasukan Belait di tempat keenam dengan satu emas dan dua gangsa; dan terakhir sekali Pasukan Miri dengan 11 perak dan 10 gangsa.

Dua beradik Awang Mohd Adi Sya’rani bin Roslan dan Awang Mohd Sufi Shayiran bin Roslan membawa kebanggaan kepada negara dengan masing-masing mengutip tiga dan dua pingat emas.

Li Hui bergambar bersama kontinjen dari Sarawak.
Li Hui bergambar bersama kontinjen dari Sarawak.

Awang Mohd Adi Sya’rani yang berusia 17 tahun mencatatkan kemenangan dalam kategori Gunshu, Daoshu dan Changquan, manakala abangnya Awang Mohd Sufi Shayiran memenangi dalam kategori Nanquan dan Nangun.

Jurulatih kebangsaan Li Hui bersama pembantunya Ang Lu Guan berkata mereka berpuas hati dengan persembahan atlet-atlet tempatan skim dan juga negara, tetapi pasukan kebangsaan yang bertanding akan mempunyai hanya sedikit masa lagi kerana mereka akan bertanding lagi di kejohanan anjuran Miri selama dua hari bermula esok.

“Kami cuba untuk mengambil kesempatan dari musim cuti sekolah ini untuk menguruskan jadual perlawanan dan pertandingan untuk pasukan kebangsaan supaya mereka boleh terus meningkatkan lagi keupayaan mereka melalui pengalaman bertanding,” kata Hui yang ditemui hari ini berkata

Dengan tumpuan diberikan kepada kejohanan SUKMA di Malaysia tahun depan, Kejohanan Wushu Asia dan Kejohanan Remaja Dunia di Bulgaria, Guan berkata peningkatan dalam bersaing di dalam negara dan di seberang sempadan akan membina momentum yang diperlukan untuk pertandingan serantau dan antarabangsa yang lebih besar lagi.

ARTIKEL YANG SAMA