Brunei pasaran pelancongan penting bagi Thailand

Brunei pasaran pelancongan penting bagi Thailand

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Jun – Walaupun jumlah pelancong dari Negara Brunei Darussalam ke Thailand adalah sedikit jika dibandingkan dengan pelancong dari negara-negara lain tetapi ia tidak bermakna pasaran Brunei bukannya sebuah pasaran pelancongan yang penting bagi Thailand.

Pasaran pelancong dari Brunei yang berkunjung ke Thailand dikategorikan sebagai pasaran niche atau khusus di mana mereka merupakan pelancong yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi serta berkunjung bagi mendapatkan perkhidmatan seperti pemeriksaan kesihatan dan untuk membeli-belah.

Perkara itu dijelaskan oleh Pengurus Pemasaran Autoriti Pelancongan Thailand (TAT) bagi Brunei dan Malaysia, Richard Lim Chew Lee dalam temu bual bersama Media Permata di Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

Beliau mendedahkan, dari segi jumlah pelancong Brunei yang berkunjung ke Thailand, ia menunjukkan peningkatan positif iaitu kira-kira 28 peratus pada 2015 jika dibandingkan dengan jumlah pada 2014 iaitu seramai 13,800 orang pada 2015 berbanding 11,200 orang pada 2014.

“Kami mencatatkan pertumbuhan yang baik dari segi jumlah pelancong Brunei ke Thailand pada 2015 berbanding dari tahun sebelumnya iaitu sebanyak 20 peratus tetapi kami melihat pelancong dari Brunei ke Thailand bukannya pasaran besar tetapi adalah pasaran niche atau khusus.”

Richard menjelaskan lanjut bahawa pelancong dari Brunei yang berkunjung ke Thailand akan berada di negara berkenaan bagi jangka masa yang agak panjang, mempunyai kuasa pembelian yang tinggi, mendapatkan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan serta akan menginap di hotel yang bertaraf tinggi.

Mengulas mengenai prospek pelancong Brunei ke Thailand, Richard berkata, seperti negara-negara lain, Thailand menyatakan harapan jumlah pelancong itu akan meningkat tetapi secara keseluruhan pasaran pelancongan di rantau Asia Tenggara pada suku pertama 2016 agak perlahan disebabkan masalah ekonomi serantau termasuk penurunan harga minyak.

Beliau menambah, sebahagian besar negara adalah dalam proses pemulihan ekonomi dan Brunei juga tidak terkecuali daripada perkara itu di mana pasaran pelancongan Brunei ke Thailand pada suku pertama 2016 adalah agak perlahan tetapi Richard percaya jumlah itu akan meningkat kerana sebahagian besar pelancong akan berkunjung semasa cuti sekolah seperti di bulan Ramadan di mana mereka akan membeli-belah sebagai persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang.

Menerangkan mengenai keunikan dan tarikan Thailand bagi pelancong Brunei, Richard menjelaskan bahawa Thailand mempunyai pelbagai kemudahan, produk pelancongan dan perkhidmatan yang terbaik bagi para pengunjung ke negara berkenaan.

Beliau berkata, salah satu kekuatan yang dimiliki oleh industri pelancongan Thailand merupakan tahap perkhidmatan tinggi yang ditawarkan oleh para pekerja dalam industri berkenaan yang memberikan layanan mesra kepada setiap pengunjung.

“Ini boleh dikatakan sebagai sifat Thainess di mana masyarakat Thai dari usia yang muda lagi telah diajar untuk mempunyai sifat lemah lembut, mesra serta sentiasa menghormati tetamu mereka.”

Di samping itu juga, beliau berkata, disebabkan oleh pertukaran mata wang Brunei yang tinggi jika dibandingkan dengan mata wang Thailand, para pelancong juga boleh mendapatkan pelbagai barangan dengan harga yang menarik dan dengan Jualan Besar-Besaran Tahunan Thailand yang berlangsung selama tiga bulan bermula 15 Jun hingga 15 Ogos, para pengunjung Brunei boleh mendapat pelbagai barangan tawaran hebat yang nilai untuk wang dengan harga yang menarik.

Mengulas mengenai persoalan yang sering diketengahkan oleh pelancong Brunei mengenai Thailand, Richard berkata bahawa isu makanan halal merupakan salah satu isu yang sering diluahkan di mana Richard berkata bahawa Thailand mempunyai jumlah penduduk beragama Islam yang tinggi dan industri pelancongan Thailand juga amat peka akan keperluan pelancong Muslim ke Thailand di mana kesedaran untuk menyediakan perkhidmatan yang sesuai bagi pengunjung Muslim terus ditingkatkan.

Jika dilihat daripada kajian dan laporan yang dikeluarkan oleh Mastercard-Crescent Rating Global Muslim Travel Index (GMTI) 2016, Thailand merupakan di antara negara pilihan utama bagi pelancong Muslim ke rantau ASEAN.

ARTIKEL YANG SAMA