Brunei peroleh gangsa

Brunei peroleh gangsa

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Jan – Atlet Pairs, Triples dan dua pemain muda bawah 25 tahun Boling Padang kebangsaan hari ini mengesahkan pingat gangsa di dalam Kejohanan Boling Padang Asia ke-11 dan Kejohanan Boling Padang Bawah 25 Tahun ke-9 sekali gus mengukir pencapaian terbaik skuad boling padang negara sejak kali terakhir meraih pingat gangsa di kejohanan yang sama pada tahun 2014 yang lalu.

Namun apa yang lebih menarik ialah esok pada hari keempat kejohanan, dua lagi pingat bakal ditentukan oleh pemain perseorangan wanita negara, Dayangku Nurul Nabilah PHMSC dan skuad Fours wanita yang disertai oleh Esmawandy Ibrahim, Hajah Amalia Haji Metali, Suhana Haji Daud dan Hajah Ajijah Muntol.

Dayangku Nurul Nabilah pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan menewaskan pemain Singapura dengan mata 19-15 untuk memastikan kemaraan dalam peringkat kalah mati berdepan pemain Thailand yang kemudian berjaya ditewaskan dengan mata 16-15 bagi melayakkan ke peringkat separuh akhir.

Pada peringkat separuh akhir besok, Dayangku Nurul Nabilah PHMSC akan berdepan dengan pemain yang pernah ditewaskannya pada perlawanan pertama di peringkat kumpulan dari Hong Kong.

Sementara itu, kekalahan pada perlawanan pertama di peringkat kumpulan tidak melemahkan semangat pasukan Fours wanita negara apabila berjaya mencatatkan dua kemenangan dan menempah tempat di peringkat separuh akhir besok.

Barisan pemain Triples dan Doubles negara yang berjaya meraih gangsa pada kejohanan kali ini.
Barisan pemain Triples dan Doubles negara yang berjaya meraih gangsa pada kejohanan kali ini.
Debaran dalam perlawanan separuh akhir menentang Malaysia kelmarin.
Debaran dalam perlawanan separuh akhir menentang Malaysia kelmarin.

Kumpulan yang disertai Dayang Esmawandy binti Ibrahim, Hajah Amalia binti Haji Metali, Dayang Suhana binti Haji Daud dan Hajah Ajijah Muntol pada perlawanan kedua menewaskan kumpulan Thailand dengan mata 16-9 dan kemudian membenam Pasukan China dengan mata 14-9.

Esok pasukan Fours wanita negara akan berdepan Pasukan India untuk memastikan kutipan pingat seterusnya pada perlawanan pertama kira-kira jam 8 pagi di Kompleks Boling Padang Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah di Berakas.

Dalam bahagian Kejohanan Boling Padang Bawah 25 Tahun Kali Ke-9 pula, kedua-dua pemain muda lelaki negara meraih gangsa apabila menutup tirai perlawanan peringkat kumpulan dengan menduduki tempat ketiga dan keempat.

Pada perlawanan hari ketiga ini pemain muda negara mengalahkan pemain India 21-10 dan seorang lagi turut mencatatkan kemenangan ke atas pemain China dengan mata 10-21 dan sekali gus menambah bilangan pingat gangsa yang turut disumbangkan barisan pemain Pairs dan Triples negara.

Tiga perlawanan akhir akan berlangsung pada sebelah pagi besok antaranya penentuan kejuaraan bagi bawah 25 tahun lelaki antara Malaysia dan Hong Kong, Pairs Lelaki antara Thailand menentang Hong Kong dan Triples lelaki antara Malaysia dan India.

Pada sebelah petang pula akan berlangsung perlawanan akhir bahagian wanita termasuk bahagian perseorangan, Fours dan bawah 25 tahun yang akan menyaksikan Malaysia berdepan Hong Kong.