Brunei Press terima kunjungan CAFIU

Brunei Press terima kunjungan CAFIU

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – Rombongan seramai 13 orang dari Persatuan China bagi Persefahaman Antarabangsa (CAFIU), hari ini, telah mengadakan lawatan ke Brunei Press Sdn Bhd di Beribi.

Ketibaan rombongan yang diketuai oleh Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Kebangsaan Rakyat China, Pengerusi Jawatankuasa Pusat Liga Demokratik China dan Naib Presiden CAFIU, Tuan Yang Terutama Zhang Baowen, dialu-alukan oleh Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Reggie See yang seterusnya menyampaikan taklimat mengenai penubuhan syarikat.

Turut serta mengalu-alukan rombongan ialah Timbalan Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Hazizah Osman.

Dalam lawatan itu, rombongan berpeluang menyaksikan tayangan video mengenai penubuhan syarikat sejak tahun 1953.

Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd menyerahkan cenderamata kepada Tuan Yang Terutama Zhang Baowen.
Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd menyerahkan cenderamata kepada Tuan Yang Terutama Zhang Baowen.
TYT Zhang Baowen, Puan Yang Terutama Yang Jian dan rombongan dari CAFIU semasa mengadakan lawatan ke Brunei Press.
TYT Zhang Baowen, Puan Yang Terutama Yang Jian dan rombongan dari CAFIU semasa mengadakan lawatan ke Brunei Press.

Kunjungan muhibah tersebut turut disertai oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Raykat China ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Yang Jian dan beberapa orang pegawai daripada kedutaan tersebut.

TYT Zhang Baowen dan rombongan berada di negara ini selama tiga hari, hingga hari ini, sebagai sebahagian daripada lawatan ke beberapa buah negara untuk mempromosi dan bertukar-tukar pandangan.

Semasa berada di negara ini, Tuan Yang Terutama mengadakan kunjungan muhibah kepada Yang Di-Pertua Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.

CAFIU ditubuhkan pada 1981 yang terdiri daripada aktivis sosial, cendekiawan dan wakil-wakil daripada semua lapisan masyarakat, serta CAFIU berdaftar sebagai pertubuhan yang tidak berasaskan keuntungan dengan Kementerian Hal Ehwal Awam dan memperoleh status perundingan khas dengan UN ECOSOC pada bulan Mei 2003. Selain itu, CAFIU turut bersedia membuat pertukaran dan kerjasama mesra dengan organisasi dan institusi di negara-negara seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA