Brunei puji usaha ILO promosi kerja baik

Brunei puji usaha ILO promosi kerja baik

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong kini sedang menghadiri Persidangan Buruh

Antarabangsa (ILC) ke-105 yang berlangsung selama tiga hari sehingga esok, di Geneva, Switzerland.

ILC tahun ini telah bermula 30 Mei lalu hingga 11 Jun ini dengan membawa tema ‘Membangun Masa Depan dengan Kerja Baik’.

Semasa persidangan itu, para peserta antara lain membincangkan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan rangkaian bekalan dunia, pekerjaan dalam perkhidmatan keamanan, keselamatan dan bantuan bencana, dan kesan Deklarasi Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengenai Keadilan Sosial bagi Globalisasi yang Adil.

Delegasi-delegasi juga akan mempertimbangkan pindaan-pindaan kepada Konvensyen Maritim Tatalaku Buruh dan laporan ketua pengarah mengenai kemiskinan, menurut kenyataan Jabatan Buruh, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), di sini, hari ini.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menyampaikan ucapan pada Persidangan ILC ke-105 di Geneva, Switzerland.
Yang Berhormat Pehin Haji Awang Abu Bakar semasa menyampaikan ucapan pada Persidangan ILC ke-105 di Geneva, Switzerland.

Turut hadir pada persidangan itu ialah Perwakilan Tetap Brunei Darussalam di Geneva, Tuan Yang Terutama Dato Paduka Haji Mohd Mahdi bin Pehin Orang Kaya Digadong Seri Diraja Dato Laila Utama Haji Abdul Rahman; Setiausaha Tetap di KHEDN, Haji Mohammad ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam; Pemangku Pesuruhjaya Buruh, Haji Rani bin Begawan Pehin Siraja Khatib Dato Seri Setia Haji Mohd Yusof; dan pegawai-pegawai kanan Jabatan Buruh serta perwakilan-perwakilan daripada majikan dan pekerja.

Dalam kenyataan awal semasa ILC ke-105, semalam, Yang Berhormat Pehin telah memuji usaha-usaha ILO dalam mengambil peranan penting mempromosikan kerja baik dalam rangkaian bekalan dunia menerusi pelbagai program kerjasama pembangunan ILO yang sistematik, dilaksanakan oleh pertubuhan di antara tahun 2000 dan 2015.

Dalam mengiktiraf keperluan untuk mewujudkan persekitaran pro perniagaan yang berbeza di Brunei, Yang Berhormat Pehin berkata, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bermatlamat untuk memastikan setiap langkah rangkaian, daripada penghasilan kepada pembersihan hingga pengeksportan sumber-sumber dan barangan tempatan, perlindungan sosial menjadi keutamaan di mana permintaan tidak patut menjejaskan kebajikan dan kesejahteraan pekerja yang terlibat.

Sebelum kenyataan awal berkenaan, Yang Berhormat Pehin telah menghadiri mesyuarat ringkas bersama menteri-menteri buruh dan pekerjaan ASEAN yang dihoskan oleh Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial Republik Demokratik Rakyat Laos bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan buruh dan pekerjaan dalam konteks ASEAN.

Yang Berhormat Pehin turut menghadiri Acara Hari Dunia Menentang Buruh Kanak-Kanak; sesi Sidang Kemuncak Kerja Sedunia Mengenai Kerja Baik bagi Belia serta mengadakan pertemuan-pertemuan dua hala bersama Singapura dan Kemboja.

ARTIKEL YANG SAMA